Terkini
Zara Qairina Tidak Tunjuk Corak Kemurungan Berat, Niat Bunuh Diri – Pakar
- Pakar psikologi kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli, 51, yang juga kaunselor berdaftar berkata dapatan itu hasil penilaian keseluruhan profil perkembangan Zara Qairina sejak lahir hingga berusia 13 tahun.
- “Dalam konteks teori psikologi berkaitan risiko bunuh diri, termasuk model interpersonal, penilaian perlu melihat sama ada wujud rasa tidak diterima, rasa menjadi beban, kemampuan untuk mencederakan diri secara serius, serta gabungan faktor akut yang membawa kepada risiko. Dalam kes Zara, data yang tersedia tidak menunjukkan secara kukuh bahawa keseluruhan elemen itu wujud secara konsisten dan dominan sebelum kejadian,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian remaja itu hari ini.
KOTA KINABALU — Mahkamah Koroner di sini diberitahu Zara Qairina Mahathir bukan seorang kanak-kanak yang secara konsisten menunjukkan corak kemurungan berat, pengasingan diri, ketiadaan harapan atau niat membunuh diri.
Pakar psikologi kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli, 51, yang juga kaunselor berdaftar berkata dapatan itu hasil penilaian keseluruhan profil perkembangan Zara Qairina sejak lahir hingga berusia 13 tahun.
Berdasarkan data dianalisis bagi menyediakan laporan profil autopsi psikologi Zara Qairina, Dr Noor Aishah yang berpengalaman lebih kurang 18 tahun berkata tidak terdapat sejarah percubaan bunuh diri yang jelas dalam kehidupan remaja itu sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan asrama pada 16 Julai tahun lepas.
“Dalam konteks teori psikologi berkaitan risiko bunuh diri, termasuk model interpersonal, penilaian perlu melihat sama ada wujud rasa tidak diterima, rasa menjadi beban, kemampuan untuk mencederakan diri secara serius, serta gabungan faktor akut yang membawa kepada risiko.
“Dalam kes Zara, data yang tersedia tidak menunjukkan secara kukuh bahawa keseluruhan elemen itu wujud secara konsisten dan dominan sebelum kejadian,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian remaja itu hari ini.
Saksi ke-76 itu berkata pendekatan Psychological Autopsy digunakan bagi menyediakan laporan profil autopsi psikologi Zara Qairina, iaitu kaedah penilaian retrospektif dalam bidang psikologi forensik yang bertujuan memahami keadaan mental, emosi, sosial, tingkah laku, hubungan interpersonal, faktor persekitaran dan faktor psikologi seseorang individu sebelum kematian.
Dr Noor Aishah berkata profil autopsi psikologi Zara Qairina dibina bertujuan menilai sama ada, daripada perspektif psikologi, terdapat asas yang kukuh untuk menyokong remaja itu mempunyai kecenderungan, niat atau keadaan psikologi konsisten dengan perbuatan menamatkan nyawa sendiri.
“Saya juga menilai sama ada terdapat faktor psikologi, sosial, keluarga, persekitaran sekolah, hubungan rakan sebaya, pengalaman asrama, catatan peribadi, komunikasi telefon dan maklumat saksi yang relevan bagi membantu mahkamah memahami keseluruhan konteks kehidupan Zara sebelum kejadian,” katanya.
Beliau berkata antara bahan diteliti termasuk dokumen berkaitan kehidupan Zara Qairina, gambar, video, diari, catatan peribadi, dokumen sekolah, laporan psikologi atau psikiatri, laporan pemeriksaan tulisan tangan, laporan forensik dokumen serta transkrip perbualan telefon antara remaja itu dengan ibunya Noraidah Lamat.
Selain itu, sesi temu bual beberapa individu mempunyai pengetahuan langsung atau hubungan rapat dengan Zara Qairina turut dilakukan termasuk ibu, ahli keluarga, pengasuh, jiran, rakan sekolah rendah dan sekolah menengah, guru serta warden.
Beliau berkata profil psikologi Noraidah turut dibangunkan kerana wanita itu individu paling rapat dengan Zara Qairina selain mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkembangan kognitif, emosi, sosial, tingkah laku, minat, rutin harian dan pengalaman hidup remaja itu.
Dr Noor Aishah berpendapat data yang tersedia lebih menyokong keperluan untuk menilai secara berhati-hati faktor luaran, situasional serta interpersonal yang berlaku dalam persekitaran sekolah dan asrama sebelum kejadian, berbanding membuat kesimpulan mudah bahawa kematian Zara Qairina berpunca daripada konflik keluarga atau keadaan psikologi dalaman semata-mata.
Beliau turut berpendapat hubungan Zara Qairina dengan ibunya tidak wajar dilihat sebagai faktor utama secara terasing, sebaliknya hubungan itu secara keseluruhan lebih banyak menunjukkan elemen kelekatan, kasih sayang, sokongan emosi dan komunikasi terbuka.
“Dalam penilaian saya, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan psikologi berdasarkan satu kategori bahan sahaja seperti catatan tertentu tanpa mengintegrasikan keseluruhan data perkembangan, temu bual, transkrip panggilan, pemerhatian saksi, sejarah sekolah, sejarah keluarga, faktor perlindungan dan faktor situasional hampir dengan kejadian.
“Kesimpulan profesional saya adalah profil psikologi Zara secara keseluruhan menunjukkan seorang kanak-kanak dan remaja awal yang ceria, sosial, aktif, penyayang, pemurah, bermotivasi, mempunyai aspirasi dan mempunyai hubungan rapat dengan ibunya.
“Walaupun Zara mempunyai sensitiviti sosial dan cabaran perkembangan remaja seperti konflik rakan sebaya, kecemburuan persahabatan, tekanan asrama dan beberapa tingkah laku maladaptif bersifat situasional, faktor tersebut tidak mencukupi secara sendirinya untuk menyokong kesimpulan Zara mempunyai niat membunuh diri yang stabil atau terancang,” katanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi. — BERNAMA