Terkini
Kerjasama UMNO-PAS kelirukan rakan, musuh dan rakyat – Dr Tawfik
- Penganalisis Politik, Dr Tawfik Yaakub berkata UMNO sedang mengaplikasikan strategi politik “jika tidak mampu meyakinkan, kelirukan mereka” susulan ketidakjelasan mengenai dakwaan persefahaman parti itu dengan PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
- “Saya lihat BN melalui UMNO sedang aplikasi slogan politik yang pernah diungkapkan Harry Truman, Presiden Amerika Syarikat ke-33, dalam praktik hari ini, iaitu ‘if you can’t convince them, confuse them’. Bukan saja rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan keliru, malah musuh dan rakyat pun makin keliru dengan strategi BN-UMNO,” katanya kepada The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – UMNO dilihat sedang mengaplikasikan strategi politik “jika tidak mampu meyakinkan, kelirukan mereka” susulan ketidakjelasan mengenai dakwaan persefahaman parti itu dengan PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Penganalisis Politik, Dr Tawfik Yaakub berkata, strategi berkenaan bukan sahaja mengelirukan rakan-rakan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, malah turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan lawan politik dan rakyat.
“Saya lihat BN melalui UMNO sedang aplikasi slogan politik yang pernah diungkapkan Harry Truman, Presiden Amerika Syarikat ke-33, dalam praktik hari ini, iaitu ‘if you can’t convince them, confuse them’.
“Bukan saja rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan keliru, malah musuh dan rakyat pun makin keliru dengan strategi BN-UMNO,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan wujudnya persefahaman antara UMNO dan PAS menjelang PRN Negeri Sembilan yang turut dipersoalkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung.
Saw sebelum ini berkata, dakwaan berkenaan bercanggah dengan prinsip yang dibawa Barisan Nasional (BN), selepas beliau berulang kali memberi jaminan kepada pengundi ketika berkempen di Johor bahawa gabungan itu tidak bekerjasama dengan PAS.
“Baru seminggu lalu ketika berkempen di Johor, saya berulang kali memberi jaminan kepada pengundi bahawa BN tidak bekerjasama dengan PAS.
“Untuk menghalang gelombang hijau, rakyat perlu mengundi BN. Saya juga menjelaskan bahawa DAP pernah tiga kali bekerjasama dengan PAS, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pernah menjemput PAS menyertai Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Tawfik berkata, perubahan naratif dalam tempoh terlalu singkat boleh menimbulkan persepsi bahawa BN tidak konsisten.
Bagaimanapun, beliau melihat BN berpegang kepada politik pragmatik bagi menguntungkan parti kerana dalam politik, tiada kawan atau musuh yang kekal, sebaliknya hanya kepentingan yang kekal selamanya.
Saw sebelum ini mendakwa telah meyakinkan pengundi Johor bahawa BN tidak bekerjasama dengan PAS, namun selepas itu pemimpin BN menyebut mengenai “persefahaman dengan rakan”, manakala pemimpin PAS pula mengakui wujudnya suatu bentuk persefahaman politik.
Tawfik berkata, kesan polemik itu masih boleh dikawal sekiranya BN menjelaskan secara terbuka bentuk, skop dan tempoh persefahaman tersebut.
Katanya, BN perlu menjelaskan sama ada persefahaman itu hanya bertujuan mengelakkan pertembungan kerusi atau turut merangkumi pembentukan kerajaan.
Beliau berkata, polemik itu mempunyai kesan dua hala kerana persefahaman UMNO-PAS berpotensi mengurangkan perpecahan undi Melayu dan menghidupkan kembali sentimen kerjasama parti Melayu-Islam.
Bagaimanapun, Tawfik berkata, PAS mungkin memperoleh keuntungan politik lebih besar sekiranya UMNO dilihat tidak tegas atau sekadar mengikut rentak parti itu.
“PAS boleh mendakwa bahawa UMNO akhirnya menerima kerangka politik yang selama ini diperjuangkannya. Ini menyukarkan UMNO untuk menarik kembali pengundi yang telah beralih kepada PAS kerana pengundi mungkin memilih parti asal yang membawa agenda tersebut, bukannya parti yang dilihat baru menyesuaikan pendirian,” katanya.
Menurut beliau, UMNO perlu menampilkan identiti dan tawaran politiknya sendiri, termasuk dalam soal ekonomi, pentadbiran dan kebajikan, serta tidak hanya bergantung kepada naratif penyatuan Melayu atau penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH).
Tawfik berkata, penafian menyeluruh terhadap persefahaman itu pula boleh mengecewakan sebahagian pengundi Melayu yang melihat kerjasama UMNO-PAS sebagai langkah positif bagi mengelakkan pertandingan sesama sendiri dan menyatukan undi Melayu-Islam.
Keadaan itu, katanya, menjadi lebih ketara apabila BN sebelum ini hanya mengumumkan 25 calon di Negeri Sembilan dan menyatakan baki kerusi masih tertakluk kepada rundingan dengan “rakan yang boleh dipercayai”.
Namun, UMNO turut berhadapan dilema kerana pengesahan kerjasama dengan PAS boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan MCA, MIC serta pengundi bukan Melayu dan sederhana.
“Oleh itu, pendekatan terbaik bukanlah menafikan atau mengesahkan, tetapi memberikan penjelasan yang kabur untuk mengelirukan rakan dan musuh politik,” katanya.– The Merdeka Times