Connect with us

Antarabangsa

Network School: ‘Siasat status kerakyatan kedua warga Israel’  – Wong Chen

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen
  • Ahli Parlimen Subang, Wong Chen,  menggesa kerajaan, melalui Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri, menjalankan siasatan penuh untuk menentukan skala sebenar penglibatan warga Israel di Network School.
  • “Saya tidak mengetahui sama ada mereka mempunyai dua kerakyatan atau tidak. Itulah cabarannya. Jadi apa yang perlu agensi terlibat lakukan ialah menyiasat. Kerajaan perlu turun dan menyiasat. Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
  • Wong Chen turut mencadangkan penambahbaikan proses permohonan visa dengan mewajibkan pengisytiharan kewarganegaraan kedua.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen,  yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa,  menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City, Johor, susulan dakwaan penglibatan warga Israel.

Beliau menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan sebarang kemasukan warga Israel adalah satu perkara yang serius.

“Saya memandang perkara ini dengan serius kerana kami tidak mengiktiraf Israel. Oleh itu saya menggesa jabatan imigresen supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan tiada warganegara Israel memasuki Malaysia,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau berkata siasatan perlu menentukan sama ada kehadiran warga Israel di Network School merupakan satu insiden terpencil atau masalah yang lebih meluas.

Namun menurutnya, cabaran utama terletak pada pengesanan individu yang memegang dua kerakyatan.

“Dengan siasatan penuh kita boleh memastikan berapa ramai warga Israel telah datang, dan sama ada pihak pentadbir mengetahui dengan sengaja atau tidak. Perkara ini rumit kerana terdapat warga Israel yang mempunyai dua kerakyatan.

“Saya tidak mengetahui sama ada mereka mempunyai dua kerakyatan atau tidak. Itulah cabarannya. Jadi apa yang perlu agensi terlibat lakukan ialah menyiasat. Kerajaan perlu turun dan menyiasat. Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri.”

Wong Chen menegaskan bahawa jika siasatan mendapati Network School dengan sengaja menerima warga Israel, tindakan drastik perlu diambil terhadap pentadbir tersebut.

 “Jika sebilangan besar pelajar telah masuk dan mereka sengaja melanggar undang-undang Malaysia, tindakan yang lebih drastik perlu diambil terhadap syarikat itu. Tindakan perlu diambil terhadap pentadbir jika ia sengaja menerima warganegara Israel,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa dari sudut undang-undang, penggunaan pasport kedua oleh warganegara Israel untuk memasuki Malaysia adalah secara teknikalnya sah, menjadikan penguatkuasaan lebih rumit.

“Walaupun warganegara Israel menggunakan pasport kedua mereka untuk memasuki Malaysia, yang secara teknikalnya sah. Itulah isunya. Jadi, jabatan imigresen perlu lebih waspada.”

Wong Chen mencadangkan agar Jabatan Imigresen memperbaiki proses permohonan apa-apa visa yang menggunakan alamat Network School dengan mewajibkan pemohon mengisytiharkan kewarganegaraan kedua mereka, jika ada.

Beliau juga mengingatkan bahawa jika siasatan mendapati pentadbir dengan sengaja menerima warga Israel, tindakan tegas perlu diambil.

 “Jika ramai pengguna dari Israel, dan jika pengurus syarikat dengan sengaja melakukan ini, maka kerajaan perlu mengambil tindakan, sama ada amaran keras atau suspend operasi.”

 “Mereka telah memalukan negara kita. Ia kelihatan amat buruk pada kita, tangan kanan kita meyokong Palestin, tetapi tangan kiri membenarkan orang Israel memasuki Malaysia. Jadi, betapa meluasnya ini? Adakah ia satu daripada seribu pengguna?” soalnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author