Connect with us

Terkini

PM Anwar ingatkan rakyat jangan terus agungkan acuan Barat

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak terus terbelenggu dengan pemikiran kolonial yang menganggap sistem, bahasa, budaya dan model pembangunan Barat sebagai terbaik.
  • Sebaliknya, Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia untuk menterjemahkan kemerdekaan dengan membina negara berasaskan nilai dan jati diri sendiri.
  • “Ada generasi pertama selepas merdeka, pemikirannya macam separuh Inggeris. Kulitnya sawo matang, tapi (apabila menyentuh mengenai) pertanyaan program pendidikan, (mereka anggap) harus Inggeris, bahasa harus Inggeris, budaya harus Inggeris, sistem ekonomi harus Barat, sistem politik kita, kenegaraan, harus Barat,” katanya.

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak terus terbelenggu dengan pemikiran kolonial yang menganggap sistem, bahasa, budaya dan model pembangunan Barat sebagai terbaik.

Sebaliknya, Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia untuk menterjemahkan kemerdekaan dengan membina negara berasaskan nilai dan jati diri sendiri.

“Tanggungjawab generasi hari ini bukan sekadar menikmati kemerdekaan diwarisi, tetapi harus memastikan pembangunan negara terus dipacu berasaskan nilai kukuh,” katanya pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor hari ini.

Merujuk kupasan beberapa sarjana Islam mengenai proses pembaharuan masyarakat, Anwar berkata perubahan terhadap nilai dan jati diri sendiri perlu dilakukan kerana masih ada dalam kalangan generasi selepas merdeka yang melihat acuan Barat sebagai penanda aras dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Ada generasi pertama selepas merdeka, pemikirannya macam separuh Inggeris. Kulitnya sawo matang, tapi (apabila menyentuh mengenai) pertanyaan program pendidikan, (mereka anggap) harus Inggeris, bahasa harus Inggeris, budaya harus Inggeris, sistem ekonomi harus Barat, sistem politik kita, kenegaraan, harus Barat,” katanya.

Perdana Menteri berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan yang dirai pada bulan depan, rakyat seharusnya memaknai sambutan itu dengan membina kekuatan negara berdasarkan acuan, identiti dan budaya tempatan tanpa menolak sebarang kemajuan.

Beliau berkata proses pembaharuan itu boleh dimulakan dengan pembentukan jiwa dan akhlak, selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan penyucian diri sebagai asas kepada pembangunan insan dan kemajuan negara.

“Nak bangunkan (pembangunan) mesti ada sepertimana yang kita cuba ungkapkan dalam MADANI, nilai dan akhlak. Kita menggapai di langit… teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum. Tak ambil itu, kita terus jauh dari langit. Tetapi sementara kita menggapai di langit, kita mengakar ke bumi. 

“Apa dia akar ke bumi? Mesti ada akidah, akhlak, nilai, ihsan, budaya kita dan jati diri. Itulah yang mengisi kemerdekaan,” katanya. – BERNAMA 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author