Politik
Kerjasama UMNO-PAS tarik undi Melayu, tapi risiko ditolak bukan Melayu – Penganalisis
- Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian menegaskan bahawa cabaran utama BN adalah mengimbangi keperluan menarik sokongan daripada kedua-dua kelompok pengundi ini.
- “Ia boleh mengukuhkan sokongan pengundi Melayu, tetapi berisiko menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya.
- Menurutnya, pendekatan Barisan Nasional (BN) disesuaikan mengikut keadaan politik setempat, bukan semestinya percanggahan prinsip dan mesej yang dibawa BN sebelum ini.
KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO-PAS boleh mengukuhkan sokongan pengundi Melayu, tetapi berisiko menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian menegaskan bahawa cabaran utama BN adalah mengimbangi keperluan menarik sokongan daripada kedua-dua kelompok pengundi ini.
“Ia boleh mengukuhkan sokongan pengundi Melayu, tetapi berisiko menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya.
Menurutnya, pendekatan Barisan Nasional (BN) disesuaikan mengikut keadaan politik setempat, bukan semestinya percanggahan naratif.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang mempersoalkan dakwaan kerjasama berkenaan yang disifatkannya bercanggah dengan prinsip dan mesej yang dibawa BN sebelum ini.
Menurut Dr. Sivamurugan, perbezaan naratif yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan lebih bersifat strategi kempen mengikut negeri.
“Ia lebih kepada perbezaan pendekatan mengikut negeri dan realiti politik tempatan, bukan semestinya percanggahan naratif,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times
Dr. Sivamurugan berkata, strategi itu menunjukkan BN kini lebih mengutamakan kemenangan pilihan raya berbanding konsistensi pendirian politik.
“Ya, ia menunjukkan BN lebih mengutamakan strategi kemenangan, sambil mengimbangi konsistensi pendirian politik,” katanya.
Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai cerminan realiti politik Malaysia yang semakin kompleks, apabila parti-parti perlu menyesuaikan strategi mengikut demografi dan sentimen pengundi di setiap negeri.
Dr. Sivamurugan turut memberi amaran bahawa pengundi atas pagar, terutamanya di kawasan campuran, mungkin menjadi pihak yang paling terkesan dengan perubahan pendekatan ini.
Katanya, mereka mungkin mempersoalkan sama ada BN benar-benar mempunyai pendirian yang jelas atau sekadar mengikut arus politik semasa. – The Merdeka Times