Connect with us

Terkini

PRN Negeri Sembilan: Ramai pengundi tak baca manifesto – Penganalisis UM

Published

on

Foto: Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub.
  • “Cerapan kami secara fizikal untuk menguji tahap ‘membaca keseluruhan’ manifesto mendapati bahawa ramai pengundi tidak membaca keseluruhan manifesto. Mereka lebih mudah mengingati beberapa janji utama yang dipopularkan melalui ceramah, media sosial dan kempen calon. Bagi saya bukan kandungan manifesto yang menjadi perhatian keseluruhan tetapi cara diterangkan merupakan matlamat yang paling penting dan utama,” – Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub
  • Beliau berkata, manifesto lazimnya lebih mempengaruhi pengundi yang masih belum membuat keputusan, pengundi muda, golongan berpendidikan serta mereka yang memberi perhatian kepada isu-isu khusus seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan pembangunan setempat.

SEREMBAN – Ramai pengundi tidak membaca keseluruhan manifesto parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya lebih mudah mengingati beberapa janji utama yang disampaikan menerusi ceramah, media sosial dan kempen calon.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dapatan itu berdasarkan cerapan fizikal yang dijalankan bagi menguji tahap pembacaan manifesto dalam kalangan pengundi.

Menurut beliau, kandungan manifesto tetap penting kerana memperlihatkan keutamaan, hala tuju dan tawaran sesebuah parti kepada rakyat, namun dalam realiti pilihan raya, manifesto bukan satu-satunya faktor, malah tidak semestinya menjadi faktor paling dominan dalam menentukan corak pengundian.

“Ramai pengundi tidak membaca keseluruhan manifesto. Mereka lebih mudah mengingati beberapa janji utama yang dipopularkan melalui ceramah, media sosial dan kempen calon.

“Bagi saya, bukan kandungan manifesto yang menjadi perhatian keseluruhan, tetapi cara ia diterangkan merupakan matlamat yang paling penting dan utama,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.

Beliau berkata, manifesto lazimnya lebih mempengaruhi pengundi yang masih belum membuat keputusan, pengundi muda, golongan berpendidikan serta mereka yang memberi perhatian kepada isu-isu khusus seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan pembangunan setempat.

Tambah beliau, manifesto yang jelas, realistik serta disokong kaedah pelaksanaan dan sumber kewangan yang munasabah berpotensi meningkatkan keyakinan pengundi.

Mengulas mengenai PRN Negeri Sembilan, Dr. Mohammad Tawfik berkata manifesto parti politik perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan kerana janji di peringkat nasional berkemungkinan kurang berkesan jika gagal menangani isu yang dekat dengan rakyat.

Beliau berkata antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk kekurangan peluang pekerjaan berkualiti, penghijrahan belia, kadar gaji yang rendah, kemudahan di kawasan luar bandar serta pembangunan yang tidak seimbang antara daerah.

Menurut beliau, sokongan pengundi turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti kesetiaan terhadap parti, populariti dan rekod perkhidmatan calon, prestasi kerajaan serta penyandang dalam mengurus ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat.

Katanya lagi, imej pemimpin utama parti termasuk calon Menteri Besar dan pemimpin di peringkat nasional juga mampu membentuk keyakinan pengundi.

“Jangan lupa juga isu-isu harian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan dan harga barangan,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author