Terkini
Trump tolak bantahan Israel terhadap potensi jualan jet pejuang F-35 kepada Turkiye
- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menolak bantahan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terhadap potensi penjualan jet pejuang F-35 kepada Turkiye, lapor Anadolu Ajansi.
- “Tiada siapa boleh menentukan apa yang patut kami jual,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One.
- Beliau menyifatkan Turkiye sebagai “sekutu yang hebat” dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai seorang “sahabat” yang telah melakukan “tugas yang sangat baik” dalam isu serantau, termasuk Syria.
- Mengakui Ankara “bukanlah peminat” Israel atau Netanyahu, Trump menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Washington dan Ankara kekal kukuh.
ISTANBUL — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menolak bantahan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terhadap potensi penjualan jet pejuang F-35 kepada Turkiye, lapor Anadolu Ajansi.
“Tiada siapa boleh menentukan apa yang patut kami jual,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One.
Beliau menyifatkan Turkiye sebagai “sekutu yang hebat” dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai seorang “sahabat” yang telah melakukan “tugas yang sangat baik” dalam isu serantau, termasuk Syria.
Mengakui Ankara “bukanlah peminat” Israel atau Netanyahu, Trump menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Washington dan Ankara kekal kukuh.
Trump turut menyifatkan angkatan tentera Turkiye sebagai “hebat”.
“Angkatan tentera yang sangat besar. Negara yang sangat berkuasa,” katanya.
Pada Sidang Kemuncak NATO di Turkiye pada Julai, Trump berkata beliau “pasti akan mempertimbangkan” untuk menyambung semula penjualan F-35 kepada Ankara, sambil menyifatkan Turkiye sebagai “jauh lebih setia berbanding negara lain”.
Menurut Erdogan, Trump mengambil “pendekatan positif” terhadap penghantaran jet pejuang F-35 kepada Turkiye.
Kenyataan Trump mengesahkan laporan media sebelum ini yang menyatakan beliau “berang” dengan kritikan terbuka Netanyahu terhadap cadangan AS untuk menjual jet berkenaan kepada Turkiye.
Pada 2019, ketika penggal pertama Trump, AS menggantung penyertaan Turkiye dalam program F-35 selepas membantah pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia oleh Ankara.
Turkiye berulang kali menegaskan bahawa tiada percanggahan antara kedua-dua sistem itu dan mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji isu berkenaan.
Ankara turut menegaskan bahawa ia telah memenuhi kewajipannya berkaitan F-35 dan penggantungan penyertaannya melanggar peraturan, selain berpendirian bahawa jet berkenaan bukan sahaja akan memperkukuh Turkiye, malah NATO. — BERNAMA-ANADOLU