Terkini
Aktivis GSF didakwa dirogol tentera zionis sewaktu kapal ditahan – Thiago
- Menurut aktivis yang berasal dari Brazil itu, insiden tersebut berlaku ketika kapal misi bantuan mereka dipintas dan ditahan oleh pasukan keselamatan Israel baru-baru ini.
- Dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan, Thiago menegaskan bahawa kejadian tersebut bukan melibatkan kes terpencil sebaliknya merangkumi pelbagai kes keganasan seksual yang berlaku di atas kapal penjara semasa dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Ashdod.
- “Tiada cara mudah untuk mengatakannya, tetapi saya terpaksa menyatakannya, beberapa individu telah dirogol dalam misi Global Sumud Flotilla. Tentera-tentera zalim ini merogol peserta kami,” kata Thiago dalam rakaman video berkenaan.
KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan daripada pergerakan Global Sumud Flotilla (GSF), Thiago Ávila, mendedahkan dakwaan salah laku seksual yang serius membabitkan tentera Israel terhadap peserta misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut aktivis yang berasal dari Brazil itu, insiden tersebut berlaku ketika kapal misi bantuan mereka dipintas dan ditahan oleh pasukan keselamatan Israel baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan, Thiago menegaskan, kejadian tersebut bukan melibatkan kes terpencil sebaliknya merangkumi pelbagai kes keganasan seksual yang berlaku di atas kapal penjara semasa dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Ashdod.
“Tiada cara mudah untuk mengatakannya, tetapi saya terpaksa menyatakannya, beberapa individu telah dirogol dalam misi Global Sumud Flotilla. Tentera-tentera zalim ini merogol peserta kami,” kata Thiago dalam rakaman video berkenaan.
Beliau menambah, selain serangan seksual, tahanan turut mendakwa mengalami keganasan fizikal yang ekstrimed sehingga mengakibatkan kecederaan parah seperti patah tulang rusuk, tulang lengan dan tulang selangka akibat dipukul secara berulang kali.
Thiago menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada ‘keganasan seksual yang sistematik’ yang didakwanya sering digunakan terhadap rakyat Palestin di dalam pusat tahanan Israel.
Beliau turut menegaskan bahawa kesemua bukti dan laporan perubatan sedang dikumpulkan oleh baki 428 peserta flotilla yang terselamat untuk dibawa ke peringkat undang-undang antarabangsa.
“Kami sedang mengumpul laporan dan kesemua ini akan bertukar menjadi kes undang-undang. Perkara ini akan dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Ini perlu disebarkan ke seluruh dunia,” jelasnya lagi.
Thiago menyeru masyarakat antarabangsa dan kerajaan-kerajaan dunia untuk tidak sekadar memberikan kecaman lisan tanpa tindakan sekatan yang nyata.
Beliau turut menggesa masyarakat global untuk bangkit menyatakan bantahan bagi menghentikan pentadbiran Israel semasa yang diterajui oleh Benjamin Netanyahu, Itamar Ben Gvir, Bezalel Smotrich, dan sekutu-sekutu mereka. – The Merdeka Times