Terkini
Pengkhianatan seks songsang suami tinggalkan trauma, luka mendalam kepada isteri – Pakar kaunseling
- Pakar kaunseling, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad berkata, isteri yang berdepan dengan situasi tersebut akan mengalami tekanan perasaan yang sangat berat selepas mendapat tahu perbuatan songsang suaminya.
- “Isteri akan berasa amat kecewa dan rasa dikhianati kerana perkahwinan yang dibina rupa-rupanya hanyalah satu penipuan.
- “Jika dibiarkan berlarutan, isteri akan hidup dalam ketakutan, mengalami trauma mendalam, dan rasa dirinya tidak lagi berharga sehingga menyebabkan rumah tangga mula retak,” katanya.
KUALA LUMPUR – Perbuatan suami yang mengamalkan seks songsang dalam senyap merupakan satu tamparan hebat yang boleh merosakkan emosi dan fizikal seorang isteri.
Lebih malang lagi, apabila rahsia itu terbongkar, ada keluarga mentua yang cuba menyembunyikan realiti tersebut dengan alasan karut seperti terkena sihir pemisah atau gangguan mistik.
Pakar kaunseling, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad berkata, isteri yang berdepan dengan situasi tersebut akan mengalami tekanan perasaan yang sangat berat selepas mendapat tahu perbuatan songsang suaminya.
“Isteri akan berasa amat kecewa dan rasa dikhianati kerana perkahwinan yang dibina rupa-rupanya hanyalah satu penipuan.
“Jika dibiarkan berlarutan, isteri akan hidup dalam ketakutan, mengalami trauma mendalam dan rasa dirinya tidak lagi berharga sehingga menyebabkan rumah tangga mula retak,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas siri laporan khas yang diterbitkan oleh The Merdeka Times bermula semalam yang mendedahkan pengakuan seorang isteri yang mendapat tahu bahawa suaminya seorang gay dan pihak keluarga mentua tidak dapat menerima hakikat tersebut serta menganggap anak mereka itu mengalami ‘gangguan mistik’.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid menambah, tekanan mental itu kemudiannya akan mula mengganggu fizikal si isteri dan antara tanda awal yang boleh dilihat termasuk penampilan diri yang mula tidak terurus, hilang selera makan di samping mula menjauhkan diri daripada ahli keluarga serta rakan sekerja.
Jika tiada jalan penyelesaian, tambahnya, si isteri boleh bertindak ponteng kerja serta mula mengabaikan tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak.
“Seterusnya, kesan ini akan merosakkan corak komunikasi dalam keluarga. Isteri akan memilih untuk mendiamkan diri dan enggan lagi berbual dengan orang sekeliling.
“Keadaan ini sangat bahaya kerana ia akan memadamkan terus rasa hormat dan kepercayaan isteri kepada suami, malah boleh berubah menjadi perasaan dendam yang mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat tiga faktor utama yang mendorong golongan gay untuk meneruskan perkahwinan meskipun mempunyai kecenderungan seksual yang songsang.
Langkah perkahwinan katanya, sering kali diambil sebagai satu bentuk mekanisme bela diri (self-defence mechanism) demi menutup identiti sebenar mereka.
“Faktor pertama yang mengikat golongan ini adalah tuntutan budaya, memandangkan masyarakat kita cenderung memandang sinis terhadap lelaki mahupun wanita yang masih tidak berkahwin pada usia matang.
“Bagi mengelakkan stigma dan pandangan negatif tersebut, si suami terpaksa akur menerima hasrat ibu bapa untuk melangsungkan perkahwinan, walaupun jauh di sudut hati kecilnya, tarikan seksual terhadap sesama jenis tetap menebal,” katanya.
Selain faktor budaya, tuntutan seks dan pembuktian ego turut memainkan peranan utama.
Sebagai seorang suami, ujarnya, mereka berasa bertanggungjawab untuk mempamerkan sifat kelelakian dan menjalani kehidupan normal di mata masyarakat.
Bagaimanapun, kata beliau, walaupun mereka terpaksa atau rela berkahwin, tingkah laku seks songsang di luar perkahwinan tetap dijadikan sebagai keutamaan.
Ada suami yang rasa lebih selamat, romantis dan rela dilayan oleh rakan lelaki dibandingkan dengan layanan isteri.
“Perbuatan seks songsang agak sukar dijauhi apabila seseorang itu mula terlibat dengannya kerana layanan emosi yang mendalam serta timbul rasa kepuasan dalam diri memenuhi nafsu secara songsang akan berterusan sukar dihentikan,” katanya.
Lantaran itu, hanya semangat, iltizam yang tinggi serta kesedaran diri yang mendalam sahaja yang mampu mengubah tingkah laku songsang seseorang suami.
Menurut beliau, perlu ditegaskan bahawa tingkah laku seks songsang ini bukanlah satu penyakit perubatan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebaliknya ia menuntut refleksi yang jujur serta keinsafan diri yang tinggi daripada individu terbabit untuk kembali ke pangkal jalan.
“Sebagai langkah cadangan untuk membantu pasangan yang berdepan kemelut ini, suami dan isteri disarankan untuk merujuk kepada pakar bagi mendapatkan khidmat kaunseling individu atau keluarga.
“Pada masa yang sama, semua pihak yang terlibat termasuk suami, isteri, dan ibu mertua daripada kedua-dua belah pihak perlu mempunyai keberanian untuk bersemuka secara ikhlas dan jujur tanpa menuding jari atau menuduh antara satu sama lain demi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya lagi. – The Merdeka Times