Connect with us

Terkini

Tun M persoal kedaulatan undang-undang, dakwa rakyat rasa tidak selamat, ketakutan

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Menerusi satu hantaran bertajuk ‘Feel of Fear’ di media sosial, Dr Mahathir berkata rakyat kini berasa tidak selamat dan bimbang terhadap pelbagai kemungkinan yang boleh menimpa individu tertentu.
  • “Orang ramai merasakan sesuatu mungkin berlaku kepada mereka. Individu boleh hilang. Individu boleh ditemui mati. Individu boleh diculik.
  • “Ia (undang-undang) boleh disalahgunakan. Perbuatan yang salah boleh dianggap wajar dan perbuatan yang betul (mengikut undang-undang yang sama) pula boleh dikenakan hukuman. Jenayah yang jelas dilakukan boleh diampunkan,” katanya.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa wujud perasaan takut dalam kalangan rakyat apabila mereka merasakan sesuatu yang buruk boleh berlaku terhadap diri mereka pada bila-bila masa.

Menerusi satu hantaran bertajuk ‘Feel of Fear’ atau ‘Perasaan Takut yang dimuat naik di Facebook, Dr Mahathir berkata rakyat kini berasa tidak selamat dan bimbang terhadap pelbagai kemungkinan yang boleh menimpa individu tertentu.

Menurut beliau, terdapat kebimbangan bahawa individu boleh hilang, diculik atau ditemukan mati tanpa diduga.

Beliau turut mendakwa rakyat tidak lagi merasakan mereka dilindungi oleh undang-undang, malah menganggap undang-undang itu sendiri sebagai satu ancaman.

“Orang ramai merasakan sesuatu mungkin berlaku kepada mereka. Individu boleh hilang. Individu boleh ditemui mati. Individu boleh diculik,” katanya.

Dr Mahathir turut mendakwa undang-undang boleh disalahgunakan bagi menghalalkan perbuatan yang salah, manakala tindakan yang betul pula boleh dikenakan hukuman.

“Ia boleh disalahgunakan. Perbuatan yang salah boleh dianggap wajar dan perbuatan yang betul (mengikut undang-undang yang sama) pula boleh dikenakan hukuman. Jenayah yang jelas dilakukan boleh diampunkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, terdapat keadaan di mana jenayah serius yang jelas berlaku tidak disiasat, manakala siasatan terhadap kes tertentu pula dihentikan melalui arahan.

“Jenayah serius yang jelas dilakukan tidak disiasat, tetapi apabila tiada jenayah dilakukan, siasatan dihentikan atas arahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendakwa negara kini seolah-olah tidak lagi ditadbir berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Sesungguhnya negara ini seolah-olah tidak lagi berada di bawah kedaulatan undang-undang,” katanya.

Mengakhiri hantaran tersebut, Dr Mahathir menyifatkan keadaan berkenaan sebagai sesuatu yang menakutkan.

“Ia menakutkan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author