Terkini
Isu majikan dera amah: Kedutaan Indonesia lindungi dua mangsa
- Jurucakap Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI), berkata kedua-dua wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu ditempatkan di kediaman sementara milik konsulat bagi membolehkan bantuan serta perlindungan lanjut diberikan.
- Menurut beliau, pihak konsulat menerima aduan seorang warga Indonesia yang mendakwa dirinya bersama dua lagi wanita senegaranya menjadi mangsa keganasan fizikal ketika bekerja sebagai pembantu rumah.
- “Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dipercayai mengalami penderaan oleh majikan mereka dalam kejadian yang berlaku pada penghujung tahun lalu dan Januari tahun ini.
- “Selepas kejadian tersebut, mereka didakwa ditinggalkan oleh majikan di kawasan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru,” katanya.
JOHOR BAHRU – Dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal oleh majikan mereka di negeri ini kini menerima perlindungan daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru.
Jurucakap KJRI berkata, kedua-dua wanita terbabit yang bekerja sebagai pembantu rumah ditempatkan di kediaman sementara milik konsulat bagi membolehkan bantuan serta perlindungan lanjut disalurkan.
Menurut beliau, pihak konsulat menerima aduan daripada seorang warga Indonesia yang memaklumkan bahawa dirinya bersama dua lagi wanita senegaranya dipercayai menjadi mangsa keganasan fizikal semasa bekerja sebagai pembantu rumah.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dipercayai mengalami penderaan oleh majikan mereka dalam kejadian yang berlaku pada penghujung tahun lalu dan Januari tahun ini.
“Selepas kejadian tersebut, mereka didakwa ditinggalkan oleh majikan di kawasan Kampung Melayu Majidee di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dipetik KO SMO.
Beliau berkata, selepas kejadian itu, ketiga-tiga wanita berkenaan mengambil haluan masing-masing kerana masih berhasrat untuk terus bekerja di Malaysia. Seorang daripada mereka dilaporkan menuju ke Kuala Lumpur, manakala dua lagi kekal berada di Johor.
Dalam pada itu, semakan yang dilakukan mendapati ketiga-tiga wanita terbabit berada di Malaysia tanpa permit kerja yang sah.
“Pasport mereka juga dipercayai dipegang oleh majikan menyebabkan mereka takut untuk tampil membuat laporan mengenai penderaan yang dialami.
“Namun, salah seorang mangsa akhirnya membuat aduan kepada KJRI sebelum pihak konsulat menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau lagi, hasil maklumat yang diterima, Polis Daerah Johor Bahru Utara telah menahan empat individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Semalam, media melaporkan bahawa dua pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mencederakan pembantu rumah di sebuah kediaman di Taman Johor, Tampoi dekat sini.
Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin untuk membantu siasatan lanjut. – The Merdeka Times