Connect with us

Terkini

Konsep Melayu tidak wujud di Funan? Hujah Goodcast dipersoal dari sudut sejarah

Published

on

  • Bekas Profesor Universiti Hawaii, Michael Haas, menyatakan kawasan Delta Mekong diperintah masyarakat peribumi di bawah Ratu Liu-yeh sebelum kemunculan Kaundinya, mencabar dakwaan bahawa tamadun awal rantau ini bermula sepenuhnya daripada pengaruh India.
  • Haas turut menegaskan  masyarakat Funan adalah “sejenis masyarakat Melayu”, sekali gus bertentangan dakwaan podcast bahawa konsep Melayu tidak wujud di Funan.
  • Menurut Felo Akademi Sains Malaysia, Kursi UNESCO di UKM, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, identiti Melayu pada zaman silam bersifat “fluid” dan berkembang mengikut zaman, menolak tanggapan konsep Melayu tidak wujud hanya kerana definisinya berbeza daripada hari ini.
  • Sami Buddha China, Yijing (I-Tsing), merekodkan sebuah kerajaan bernama Melayu di Sumatera seawal 671 Masihi, membuktikan entiti Melayu telah wujud dalam sumber sejarah beratus-ratus tahun lalu.

Dakwaan bahawa “konsep Melayu tidak wujud di Funan” yang diutarakan dalam sebuah episod podcast Goodcast bukan sahaja mengabaikan perkembangan kajian sejarah moden, malah dilihat sebagai satu penyederhanaan sejarah yang mengelirukan.

Dalam podcast tersebut, tetamu yang dijemput, Christopher Cheong, mendakwa bahawa berdasarkan buku teks Malaysia, Kerajaan Funan yang sering dikaitkan dengan antara kerajaan terawal di Alam Melayu diasaskan Kaundinya, seorang Brahmin Hindu dari India.

Beliau kemudian berhujah bahawa walaupun wilayah tersebut dikenali sebagai Alam Melayu, pengasasnya bukan seorang Melayu tetapi seorang Hindu.

Hos podcast, Vinodh Rajendran pula menambah bahawa “konsep Melayu tidak ada di situ”, semasa beliau merujuk kepada Funan. Suatu kenyataan yang kemudiannya dipersetujui oleh Christopher.

Namun, kesimpulan bahawa konsep Melayu tidak wujud semata-mata kerana kewujudan pengaruh India dalam sejarah awal Asia Tenggara merupakan satu lompatan logik yang tidak disokong oleh banyak kajian sejarah kontemporari.

Malah, asas hujah tersebut sebenarnya bertitik tolak daripada teori lama yang dikenali sebagai ‘Indianisation by Brahmins’ atau teori pengindian oleh golongan Brahmin.
Teori yang popular pada abad ke-20 itu kini sebahagian besarnya telah ditinggalkan oleh ramai sarjana moden kerana gagal menjelaskan peranan masyarakat tempatan dalam pembentukan tamadun Asia Tenggara.

Menurut Michael Haas, bekas Profesor Sains Politik di Universiti Hawaii, sebelum kemunculan Kerajaan Funan pada abad pertama Masihi, kawasan Delta Mekong bawah telah pun dihuni dan diperintah oleh masyarakat peribumi di bawah seorang ratu bernama Liu-yeh.

Beliau memimpin sebuah masyarakat yang mempunyai struktur politik tersendiri serta ciri-ciri klan matrilineal yang memberi kedudukan penting kepada wanita dalam kehidupan sosial dan pemerintahan.

Menurut cerita rakyat Kemboja, apabila Kaundinya tiba melalui Sungai Mekong berhampiran Phnom Penh moden, Liu-yeh cuba merampas kapalnya namun gagal. Peristiwa itu akhirnya membawa kepada perkahwinan antara kedua-duanya dan pembentukan sebuah dinasti yang memerintah hampir dua abad.

Atas sebab itu, beberapa sejarawan berhujah bahawa Funan tidak diasaskan secara unilateral oleh Kaundinya atau rombongan dari India. Sebaliknya, kerajaan tersebut muncul hasil interaksi antara masyarakat peribumi yang telah lama wujud dengan unsur luar yang datang kemudian.

Haas malah menegaskan dalam artikelnya yang diterbitkan melalui EBSCO bahawa masyarakat Funan merupakan sejenis masyarakat Melayu.

Jika benar konsep Melayu tidak wujud di Funan seperti yang didakwa, maka bagaimana pula kewujudan masyarakat peribumi yang telah direkodkan sebelum ketibaan Kaundinya dapat dijelaskan?

Lebih penting, sejarah kemelayuan tidak pernah bergantung kepada Funan semata-mata.

Catatan ahli geografi Yunani, Ptolemy, dalam karya Geographia pada abad ke-2 Masihi menunjukkan kewujudan istilah seperti Maleu-kolon yang dikaitkan oleh beberapa sarjana dengan akar linguistik kepada nama Melayu.

Dalam masa sama, pelbagai bentuk istilah seumpamanya turut direkodkan dalam bahasa Tamil, Sanskrit dan Jawa. Sumber primer yang lebih kukuh datang daripada sami Buddha China, Yijing atau I-Tsing, yang merekodkan kewujudan sebuah kerajaan bernama Melayu di Sumatera ketika lawatannya ke Asia Tenggara pada tahun 671 Masihi.

Ketika beliau kembali pada tahun 685 Masihi, kerajaan tersebut telah diserap ke dalam empayar Srivijaya. Rekod itu menunjukkan bahawa nama dan entiti Melayu bukanlah ciptaan moden atau imaginasi politik kontemporari, sebaliknya telah direkodkan dalam sumber sejarah beratus-ratus tahun sebelum kedatangan penjajah Barat.

Sudah tentu, konsep Melayu pada abad pertama atau ketujuh Masihi tidak sama dengan definisi etnik Melayu yang difahami hari ini. Namun perkara itu tidak bermaksud konsep tersebut tidak wujud.

Felo Akademi Sains Malaysia, Kursi UNESCO di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin telah lama menjelaskan bahawa identiti etnik pada zaman silam bersifat cair atau dalam Bahasa Inggeris, fluid. Kemelayuan bukanlah satu kategori yang statik, tetapi identiti sosial yang berkembang mengikut ruang, masa dan pengalaman sejarah masyarakat.

Atas sebab itu, dakwaan bahawa “konsep Melayu tidak wujud” dilihat sebagai satu penyederhanaan yang mengelirukan. Ia mencampuradukkan isu pembentukan sesebuah kerajaan dengan kewujudan masyarakat peribumi, bahasa dan lingkungan budaya yang lebih luas.

Sejarah Asia Tenggara menunjukkan bahawa pengaruh luar memang memainkan peranan dalam perkembangan rantau ini. Namun ia tidak pernah bermaksud masyarakat tempatan tidak mempunyai identiti, agensi atau tamadun sendiri.

Apa yang lebih tepat ialah mengakui bahawa konsep Melayu berkembang melalui proses sejarah yang panjang dan kompleks. Menafikan kewujudannya secara mutlak bukan sahaja bercanggah dengan banyak rekod sejarah, malah mengabaikan perbahasan akademik yang telah berkembang selama beberapa dekad. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author