Terkini
Syarat perjanjian damai: ‘Iran perlu buktikan tak akan bina semula program nuklear’
- Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance berkata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan AS akan membantu Tehran memusnahkan simpanan uranium diperkaya pada tahap tinggi, sambil menegaskan bahawa syarat itu “dinyatakan dengan sangat jelas” dalam MoU.
- “Sebenarnya terdapat dua pilihan, dua laluan untuk Iran bergerak dari sini. Pilihan pertama ialah mereka terus berada di bawah sekatan ekonomi luar biasa ketat, yang bermakna mereka tidak dapat membina semula ketenteraan mereka dan tidak dapat memulihkan program nuklear mereka.
- “Atau mereka boleh membuktikan kepada kami dengan membenarkan rejim pemeriksaan mengesahkan dengan yakin bahawa mereka tidak akan membina semula program nuklear itu. Jika mereka berbuat demikian, ia akan mengubah keseluruhan rantau ini,” katanya.
WASHINGTON – Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, pada Isnin berkata pemeriksa nuklear antarabangsa akan kembali ke Iran sebagai komponen utama dalam perjanjian baharu antara Washington dan Tehran.
Vance memberitahu NBC News bahawa pemeriksa nuklear akan dibenarkan memasuki semula Iran sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Amerika Syarikat akan membantu Tehran memusnahkan simpanan uranium yang diperkaya pada tahap tinggi, sambil menegaskan bahawa syarat itu “dinyatakan dengan sangat jelas” dalam memorandum persefahaman (MoU).
Dilaporkan terdapat kira-kira 1,000 paun (453.6 kilogram) uranium diperkaya yang terperangkap di bawah runtuhan lokasi yang menjadi sasaran semasa serangan Amerika Syarikat-Israel pada Jun lalu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengesahkan bahan tersebut masih berada “di bawah runtuhan” dan tiada rancangan segera untuk mendapatkannya semula.
Vance berkata, walaupun teks MoU telah dimuktamadkan, beberapa “butiran teknikal” berkaitan pelaksanaannya masih perlu diselesaikan.
Beliau sebelum ini menjelaskan bahawa dokumen itu hanya menyediakan rangka kerja umum, manakala butiran penting akan ditentukan dalam rundingan susulan.
“MoU itu hanya kira-kira satu setengah muka surat, jadi ia merupakan dokumen yang sangat umum. Tetapi perkara ini telah menjadi sebahagian besar daripada perbincangan yang kami adakan dengan pihak Iran,” katanya kepada CNN yang dipetik Anadolu.
“Bagi beberapa isu, kami perlu menyelesaikannya semasa fasa rundingan teknikal, tetapi apa yang dilakukan oleh MoU ini ialah mewujudkan rangka kerja yang membolehkan Iran memperoleh manfaat daripada perjanjian tersebut dengan memenuhi tanggungjawab mereka di bawah perjanjian itu,” tambahnya.
Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata semua butiran perjanjian akan didedahkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam, manakala perbincangan teknikal dijangka bermula lewat minggu ini.
Ketika ditanya sama ada perjanjian itu merangkumi pembekuan semula aset Iran atau kelonggaran sekatan, Vance berkata tiada langkah sedemikian dilaksanakan setakat ini.
“Tidak ada walau satu dolar pun kelonggaran sekatan atau aset yang dibekukan semula, sama ada daripada Amerika Syarikat atau mana-mana sekutu kami di rantau Teluk,” katanya.
Vance turut menggariskan dua laluan yang menurutnya boleh dipilih Iran di bawah perjanjian tersebut.
“Sebenarnya terdapat dua pilihan, dua laluan untuk Iran bergerak dari sini. Pilihan pertama ialah mereka terus berada di bawah sekatan ekonomi yang luar biasa ketat, yang bermakna mereka tidak akan dapat membina semula ketenteraan mereka dan tidak akan dapat memulihkan program nuklear mereka.
“Atau mereka boleh membuktikan kepada kami secara sah bahawa mereka membenarkan rejim pemeriksaan mengesahkan dengan yakin bahawa mereka tidak akan membina semula program nuklear itu. Jika mereka berbuat demikian, ia akan mengubah keseluruhan rantau ini,” katanya.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang negaranya mengetuai usaha pengantaraan antara Washington dan Tehran, mengumumkan awal Isnin bahawa Amerika Syarikat dan Iran telah mencapai perjanjian damai dan majlis pemeteraian akan diadakan di Switzerland pada Jumaat ini. – The Merdeka Times