Terkini
YADIM seru hentikan guna Islamofobia sebagai naratif politik
- Ketua Pegawai Eksekutif YADIM Zamri Zainal Abidin dalam satu kenyataan hari ini berkata yayasan itu memandang serius kecenderungan segelintir pihak yang melabel kerajaan sebagai menyebarkan propaganda Islamofobia hanya berdasarkan perbezaan pendirian politik.
- “YADIM berpandangan bahawa perbezaan pendapat dalam politik demokrasi tidak boleh disamakan dengan Islamofobia. Kritikan terhadap dasar kerajaan, persaingan antara parti politik atau perbezaan ideologi tidak sewajarnya dilabel sebagai kebencian terhadap Islam,” katanya.
- Beliau berkata, menggelar kerajaan yang menerajui gabungan pelbagai kaum sebagai anti-Islam semata-mata kerana turut disertai parti bukan Melayu merupakan tafsiran yang sempit terhadap realiti politik dan pentadbiran Malaysia.
PUTRAJAYA — Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan istilah Islamofobia sebagai naratif pertembungan politik sehingga setiap perbezaan pendirian disifatkan sebagai serangan terhadap agama.
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM Zamri Zainal Abidin dalam satu kenyataan hari ini berkata yayasan itu memandang serius kecenderungan segelintir pihak yang melabel kerajaan sebagai menyebarkan propaganda Islamofobia hanya berdasarkan perbezaan pendirian politik.
“YADIM berpandangan bahawa perbezaan pendapat dalam politik demokrasi tidak boleh disamakan dengan Islamofobia. Kritikan terhadap dasar kerajaan, persaingan antara parti politik atau perbezaan ideologi tidak sewajarnya dilabel sebagai kebencian terhadap Islam,” katanya.
Beliau menjelaskan Islamofobia merujuk kepada ketakutan, kebencian, prejudis atau diskriminasi yang tidak berasas terhadap Islam dan umat Islam sehingga membawa kepada penafian hak, layanan tidak adil serta penyebaran stereotaip negatif terhadap agama ini.
Justeru, beliau menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan istilah tersebut.
Zamri berkata ukuran paling tepat untuk menilai sama ada sesebuah kerajaan bersifat Islamofobia ialah melihat melalui dasar dan tindakan yang dilaksanakan.
Katanya, institusi Islam di negara ini terus diperkasakan menerusi pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), termasuk pembangunan ummah, pendidikan Islam, pemerkasaan masjid, institusi zakat, dakwah dan penyelidikan Islam.
Pada masa yang sama, kerajaan turut mengambil pendekatan menyantuni seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama dengan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan, bantuan kos sara hidup, bantuan bencana, pendidikan, kesihatan serta program MADANI Membantu yang dilaksanakan secara inklusif tanpa membezakan latar belakang penerima.
Beliau berkata, menggelar kerajaan yang menerajui gabungan pelbagai kaum sebagai anti-Islam semata-mata kerana turut disertai parti bukan Melayu merupakan tafsiran yang sempit terhadap realiti politik dan pentadbiran Malaysia.
“Malaysia MADANI bukan membina masyarakat yang takut kepada Islam, sebaliknya sebuah negara yang lebih memahami Islam,” tegasnya.– BERNAMA