Kolumnis
Diyat keadilan buat waris mangsa, didik masyarakat bertanggungjawab – Mufti Pulau Pinang

Saya merakamkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi kemalangan yang menyayat hati di Gerik.
Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada mereka serta menempatkan roh para pelajar yang terkorban dalam kalangan para solihin.
Mengenai cadangan YBhg. Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkenaan pelaksanaan diyat dalam sistem perundangan Malaysia, saya melihat ini sebagai suatu cadangan yang sangat bernas, mempunyai asas yang wajar dan selari dengan roh keadilan Islam.
Diyat Sebagai Instrumen Keadilan Islam
Apa itu Diyat? Secara ringkas, diyat ialah pampasan yang dibayar kepada waris mangsa atas kehilangan nyawa seseorang akibat perbuatan jenayah (atau kadang-kala kecuaian yang menyebabkan kematian), dan ia merupakan satu konsep penting dalam undang-undang jenayah Islam.
Diyat bukan sahaja berperanan memberi keadilan kepada waris mangsa, tetapi juga mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab.
Ia bukan semata-mata soal kewangan, tetapi ia merupakan satu bentuk keadilan yang mengiktiraf hak mangsa dan keluarga dan dalam masa sama membuka ruang penyelesaian secara harmoni antara pihak-pihak yang terlibat.
Dalam kes- kes kemalangan melibatkan kecuaian dan menyebabkan kematian, sering kali keluarga mangsa terbiar tanpa sebarang keadilan. Justeru, cadangan pelaksanaan diyat dapat menjadi satu jalan tengah yang adil serta memberi pengiktirafan terhadap kehilangan yang dialami dan menuntut tanggungjawab yang sewajarnya.
Kepentingan Diyat dalam Konteks Malaysia
Dalam kes seperti tragedi ini yang melibatkan kematian beramai-ramai akibat kemalangan, masyarakat sering tertanya-tanya, “Siapa yang bertanggungjawab?”, “Apa bentuk keadilan kepada keluarga mangsa?”, dan “Apakah sekadar tuntutan insurans mencukupi untuk menggantikan nyawa anak-anak yang terkorban?”
Diyat, jika dilaksanakan secara holistik dan berintegrasi dalam sistem undang-undang sedia ada, boleh:
1. Memberi ruang kepada keluarga mangsa menuntut pampasan secara efisien dan teratur.
2. Menekankan konsep tanggungjawab sosial dan moral, bukan sekadar dari sudut teknikal undang-undang.
3. Menjadi jalan tengah antara balasan hukuman dan elemen belas ihsan serta kemaafan dalam Islam.
Sebagaimana disebut Ybhg Datuk Seri Dr Zulkifli, undang-undang sedia ada seperti Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Pengangkutan Jalan boleh dikaji bagi membolehkan prinsip diyat ini diintegrasikan secara berperingkat dan berhikmah dalam sistem perundangan Malaysia, selaras kerangka Maqasid Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.
Saya bersetuju dengan saranan agar kerajaan meneliti kemungkinan pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Pengangkutan Jalan, namun pada masa sama:
Perlunya satu mekanisme yang jelas mengenai penentuan pihak bersalah dan tatacara pembayaran diyat.
Perlu kepada konsensus fiqh dan perundangan yang sesuai dengan konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan sistem perundangan dualistik (sivil dan syariah).
Perlu juga ada kesedaran awam supaya masyarakat memahami bahawa diyat bukan bentuk “penggantian nyawa dengan wang”, tetapi adalah sebahagian keadilan Islam yang penuh hikmah.
Penutup
Saya menyambut baik usaha mana-mana pihak yang mahu mengangkat nilai-nilai keadilan Islam ke dalam kerangka perundangan negara. Tragedi seperti ini menuntut kita berfikir secara lebih mendalam, bukan sekadar aspek teknikal kemalangan, tetapi soal tanggungjawab, keadilan dan ihsan terhadap keluarga yang kehilangan insan tersayang. — The Merdeka Times
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
