Agama
(VIDEO) Islam agama promosikan kedamaian, bukan peperangan – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa ajaran Islam merupakan agama yang mempromosikan kedamaian dan bukannya peperangan.
Menurut Dr Mahathir, perkara itu dapat dilihat sebagaimana ucapan salam digunakan umat Islam dalam kehidupan harian mereka kepada saudara seagamanya iaitu “Assalamualaikum” yang membawa maksud peace be upon you atau selamat sejahtera ke atas kamu.
“Agama Islam ini mempromosikan peace tapi kita tak pilih untuk cara-cara (pendekatan) yang baik ni, tapi kita nak berperang sesama kita, kita nak berperang dengan orang lain sedangkan kita tak bersedia untuk nak pertahankan diri kita.
“Yang kita boleh pilih berperang hanya untuk defend, nak jaga keselamatan kita… Kita (agama Islam) tak suruh dia (penganutnya tanpa sebab) berperang nak tawan negara lain tak ada.
“Perkembangan (penyebaran ajaran) Islam dibuat dengan penjelasan tentang apa dia Islam dan kemajuan orang Islam apabila orang Islam maju dengan sendirinya orang bukan Islam akan terima ajaran Islam, InsyaAllah,” katanya ketika sesi soal jawab di Majlis Pelancaran Buku Addeen oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh The Merdeka Times berhubung bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dapat mengaplikasikan konsep wasatiyyah apabila berlaku isu perpecahan bangsa dan agama di negara ini tanpa memperlihatkan umat Islam yang bangkit untuk melawan naratif itu dilabel sebagai ekstremis agama.

Foto: Sesi soal jawab bersama Dr Mahathir selepas gimik Pelancaran Buku Addeen di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Dalam masa sama, Dr Mahathir turut mengingatkan kelompok pendakwah tentang bagaimana cara berdakwah supaya orang lain menerima agama Islam.
Beliau berkata sekiranya kita tidak menunjukkan kebolehan dan kejayaan kita sebagai penganut agama Islam, ia akan menyukarkan kita untuk menyakinkan mereka yang sudah berjaya, termasuk bukan Islam bahawa agama ini adalah agama yang baik dan patut dianuti mereka.
Tambahnya, jika kita sekadar bercakap tentang akhirat sahaja kita tidak dapat menyakinkan mereka tentang ajaran Islam, justeru kita perlu menunjukkan bahawa orang Islam juga berjaya semasa hidup.
“Dan memang pun di zaman dulu, di zaman Uthmaniyah, orang Islam adalah orang yang dipandang tinggi, dihormati sehingga orang Eropah pergi belajar tentang budaya dan agama Islam kerana mereka lihat orang Islam adalah orang yang berjaya.
“Tertarik mereka dengan agama Islam, tapi apabila kita gagal, prestasi kita merosot, kita miskin… Saya fikir sukar bagi kita nak yakinkan orang bukan Islam supaya menerima agama Islam,” katanya. — The Merdeka Times
