Kolumnis
Suami dayus pencetus kepada ‘group swinger’

Fenomena ‘group swinger’ atau pertukaran pasangan untuk tujuan hubungan seks adalah satu bentuk kemungkaran besar yang sangat menjijikkan di sisi Islam. Ia bukan sahaja melanggar batasan akhlak dan moral, bahkan merupakan satu dosa besar yang boleh menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat. Aktiviti sebegini turut membawa kepada penyebaran penyakit kelamin dan kerosakan moral dalam masyarakat.
Hukum membenarkan isteri berzina, bahkan mendorongnya, adalah haram dan termasuk dalam kategori dosa besar. Ia menunjukkan hilangnya sifat cemburu yang sepatutnya menjadi sifat fitrah seorang suami.
Suami yang sanggup membiarkan atau merelakan isterinya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain sama ada atas kerelaan isteri atau dorongan suami sendiri adalah termasuk dalam kategori dayus.
Dalam Islam, “dayus” merujuk kepada seorang lelaki yang tiada sifat cemburu terhadap maruah isteri dan keluarganya, serta tidak mengambil tindakan terhadap perlakuan maksiat yang berlaku dalam rumah tangganya.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang Allah haramkan ke atas mereka syurga: penagih arak tegar, anak derhaka kepada ibu bapa, dan lelaki dayus, yang tidak ada rasa cemburu terhadap keluarganya.” (Riwayat Ahmad, al-Nasa’i dan lain-lain)
Suami yang merelakan isterinya melakukan zina atau menyertai aktiviti “swinger” adalah dayus dalam pengertian sebenar.
Ia bukan sahaja menunjukkan rosaknya akhlak dan pegangan agama, bahkan menunjukkan bahawa lelaki itu telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pelindung maruah keluarga.
Membiarkan atau menggalakkan isteri berzina adalah suatu kejahatan berganda, kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada dosa zina, tetapi turut menjatuhkan maruah keluarga dan merosakkan zuriat serta keturunan.
Punca Berlakunya Kegiatan Tidak Bermoral Seperti Ini
Terdapat beberapa punca yang boleh dikenal pasti:
a. Lemahnya Iman dan Pegangan Agama
Apabila ilmu dan kefahaman agama tidak menjadi tunjang hidup, manusia mudah terjebak dalam hawa nafsu dan keinginan yang menyalahi syariat.
b. Pengaruh Media Sosial dan Budaya Luar
Kebebasan akses kepada bahan lucah, serta normalisasi budaya songsang dari Barat memberi kesan langsung kepada cara fikir segelintir masyarakat.
c. Krisis Dalam Rumahtangga
Masalah dalam komunikasi suami isteri, ketagihan seks yang tidak terkawal, serta ketiadaan rasa tanggungjawab boleh menjadi pencetus kepada gejala songsang seperti ini.
d. Kekosongan Jiwa dan Hilang Rasa Malu
Apabila malu dan maruah tidak lagi dipelihara, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu, walaupun bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan agama.
Saranan dan Nasihat
a. Pendidikan Agama Yang Menyeluruh
Usaha berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak, termasuk individu, keluarga, sekolah, masjid, dan media untuk membentuk kefahaman agama yang kukuh dalam kalangan masyarakat sejak kecil.
b. Penguatkuasaan Undang-undang Yang Tegas
Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap laman sosial atau platform yang digunakan untuk menyebarkan budaya maksiat. Ia termasuk menyiasat, menyekat dan mendakwa individu yang terlibat di bawah undang-undang sedia ada.
Mengikut perundangan Islam, seorang lelaki atau wanita yang telah berkahwin lalu melakukan perzinaan, boleh dijatuhkan hukuman Hudud iaitu direjam sampai mati.
c. Kaunseling Rumahtangga
Banyak pasangan yang menghadapi masalah seksual atau emosi sebenarnya memerlukan bimbingan, bukan membawa diri ke arah dosa. Pendekatan yang bersepadu boleh membantu menyelamatkan mereka daripada terus hanyut dalam dosa dan kemungkaran
d. Masyarakat Perlu Prihatin dan Berani Menegur
Budaya menegur dan menasihati secara berhikmah perlu digalakkan. Jangan biarkan budaya “jangan jaga tepi kain orang” menjadi alasan untuk kita membiarkan kemungkaran berleluasa.
Penutup:
Apa yang berlaku ini adalah satu amaran jelas bahawa penyakit sosial dalam masyarakat kita semakin parah. Kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati, tetapi mesti bergerak bersama para ulama, pemimpin, ibu bapa, pendidik, media dan rakyat untuk membendungnya dari akar umbi.
Semoga Allah memelihara kita dan zuriat kita daripada fitnah akhir zaman ini. — The Merdeka Times
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas
