Terkini
Muafakat Nasional 2.0? Hadi sahkan PAS-UMNO adakan pertemuan
- Memetik laporan Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘pertemuan biasa’.
- “Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila Marang, hari ini.
KUALA LUMPUR – Pemimpin PAS dan UMNO disahkan telah mengadakan pertemuan pada malam tadi, ketika cadangan agar Muafakat Nasional (MN) 2.0 dijayakan sedang hangat diperkatakan.
Memetik laporan Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘pertemuan biasa’.
“Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila Marang, hari ini.
Terdahulu, tular gambar dalam media sosial memaparkan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai lokasi Mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung, malam tadi.
Ia mencetuskan spekulasi pemimpin kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai cadangan menghidupkan kembali MN 2.0.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu sebelum ini wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.
Beliau berkata, pembubaran DUN Johor yang dijangka diikuti beberapa negeri lain membuka ruang kepada gelombang perubahan dalam landskap politik negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan bumiputera.
Muafakat Nasional sebelum ini ditubuhkan pada September 2019 ketika UMNO dan PAS dalam blok pembangkang susulan kejayaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.
Gabungan itu dilaporkan terkubur selepas PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pada masa yang sama mahu Bersatu diterima dalam Muafakat Nasional, tetapi dibantah UMNO. – The Merdeka Times