Connect with us

Terkini

Promosi gejala songsang, libatkan ‘Hot Daddy’: MARA digesa ambil tindakan tegas terhadap klinik

Published

on

Foto: Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Nur Farihah Meor Mazli.
  • Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Nur Farihah Meor Mazli berkata, pihaknya memohon Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk memandang serius isu berkenaan.
  • Tegasnya, ini memandangkan rangkaian klinik itu merupakan jaringan swasta yang dibangunkan bersama MARA di bawah naungan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
  • Menurut beliau, tindakan mempromosikan aktiviti bertentangan moral itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi apabila ia didakwa melibatkan pempengaruh media sosial, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli atau ‘Hot Daddy’, yang pernah dituduh atas kesalahan persundalan dan penjualan video lucah pada tahun 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir akaun Instagram ‘U.n.i Klinik Cheras’ susulan penularan kandungan media sosial yang didakwa mempromosikan gejala songsang. 

Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Nur Farihah Meor Mazli berkata, pihaknya memohon Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk memandang serius isu berkenaan.

Tegasnya, ini memandangkan rangkaian klinik tersebut merupakan jaringan swasta yang dibangunkan bersama MARA di bawah naungan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Menurut beliau, tindakan mempromosikan aktiviti bertentangan moral itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi apabila ia didakwa melibatkan pempengaruh media sosial, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli atau ‘Hot Daddy’, yang pernah dituduh atas kesalahan persundalan dan penjualan video lucah pada tahun 2024.

“Sehingga hari ini, waran tangkap terhadap individu terbabit dilaporkan masih belum disempurnakan. Justeru, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk bergerak lebih tangkas bagi menahan semula pengamal seks bebas ini serta mana-mana individu yang berselindung di sebalik aktiviti jenayah songsang yang direncana olehnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Nur Farihah turut mempersoalkan peranan sebilangan pengamal perubatan yang dilihat begitu agresif memperkenalkan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) atas alasan kesihatan.

Sebagai pengamal perubatan Melayu Muslim, jelasnya, mereka sepatutnya bercakap benar dan mendedahkan realiti sebenar mengenai penggunaan PrEP oleh golongan berisiko tinggi. 

“Persoalannya, adakah akses mudah kepada PrEP berjaya mengurangkan aktiviti homoseksual dan sodomi yang menyumbang kepada pelbagai penyakit jangkitan seksual (STD)? Jawapannya tidak sama sekali.

“Malah, dakwaan bahawa PrEP berkesan sehingga 99 peratus adalah tidak tepat daripada sudut metodologi perubatan, sepertimana yang telah diulas dan diperincikan oleh pakar, Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar,” jelas beliau lagi.

Ujar beliau, tindakan mengabaikan aspek pencegahan utama (abstinence) oleh seseorang pengamal kesihatan menunjukkan kecenderungan yang tidak sihat, sekali gus boleh merosakkan pesakit dan membawa kepada kebinasaan moral serta fizikal.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tindakan tegas wajib diambil terhadap pentadbir premis dan pengamal perubatan yang cuba menormalisasikan hubungan songsang tersebut. 

Malah, sekiranya isu tersebut dibiarkan tanpa sebarang tindakan daripada pihak pengurusan UniKL mahupun MARA Corporation, masyarakat diseru untuk memboikot mana-mana premis dan doktor yang terlibat bagi mempertahankan institusi keluarga serta nilai kesihatan yang sebenar. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author