Connect with us

Terkini

Projek 40 tingkat tepi pantai di Langkawi didakwa ancam warisan 300 juta tahun: Penduduk tuntut campur tangan kerajaan

Published

on

  • Cadangan pembangunan di pesisir Pantai Cenang di Bukit Tanjung Mali, Langkawi membabitkan pengubahan zon tanah hutan kepada zon perniagaan dengan projek bangunan 40 tingkat serta pengubahan zon hutan, pertanian dan perairan di Pulau Rebak Kecil kepada zon perniagaan untuk pembangunan komersial didakwa mengancam warisan geologi, ekosistem marin, seterusnya menjejaskan sosioekonomi penduduk Langkawi.
  • “Berdasarkan penyelidikan geologi dan dokumen saintifik terdahulu, Bukit Tanjung Mali merupakan tapak warisan penting yang menempatkan formasi dropstone purba berumur sekitar 300 juta tahun dan diiktiraf pakar antarabangsa sebagai birthplace of Malaysia serta Asia Tenggara” – Pengerusi Dodo Project Langkawi, Mohd Radhi Khalid
  • Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan turut menyediakan borang bantahan dalam talian bagi mana-mana pihak yang ingin mengemukakan bantahan.

LANGKAWI – Semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan digesa untuk segera campur tangan bagi menangani kebimbangan berhubung cadangan pembangunan di pesisir Pantai Cenang di Bukit Tanjung Mali, Langkawi yang membabitkan pengubahan zon tanah hutan kepada zon perniagaan dengan projek bangunan 40 tingkat serta pengubahan zon hutan, pertanian dan perairan di Pulau Rebak Kecil kepada zon perniagaan untuk pembangunan komersial.

Desakan itu disuarakan penduduk tempatan dan komuniti Langkawi yang berkumpul di Pantai Cenang dengan slogan ‘Ambil Peduli, Sayang Langkawi, baru-baru ini bagi membantah peningkatan pembangunan yang didakwa tidak bertanggungjawab yang sedang berlaku di Pulau Langkawi yang boleh memberikan impak kekal terhadap aspek warisan geologi, ekosistem marin serta sosio ekonomi penduduk di pulau peranginan berkenaan. 

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Dodo Project Langkawi bersama Pertubuhan Sepakat Langkawi menganjurkan perhimpunan bagi membantah pembangunan rakus di Tanjung Mali dan Pulau Rebak Kecil itu dengan sokongan penduduk Langkawi, termasuk kariah masjid, persatuan nelayan, persatuan silat dan rukun tetangga.

Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan turut menyediakan borang bantahan dalam talian bagi mana-mana pihak yang ingin mengemukakan bantahan. 

Foto: Borang Bantahan.

Pengerusi Dodo Project Langkawi, Mohd Radhi Khalid berkata lebih membimbangkan, terdapat permohonan untuk meningkatkan kepadatan bangunan sehingga 40 tingkat dengan mengubah nisbah plot daripada 1:2 kepada 1:5, yang disifatkan sebagai tidak sesuai dengan acuan Langkawi yang berada di bawah paksi UNESCO Global Geopark. 

“Berdasarkan penyelidikan geologi dan dokumen saintifik terdahulu, Bukit Tanjung Mali merupakan tapak warisan penting yang menempatkan formasi dropstone purba berumur sekitar 300 juta tahun dan diiktiraf oleh pakar antarabangsa sebagai birthplace of Malaysia serta Asia Tenggara bagi tujuan penyelidikan kajian dan pemahaman mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Menurutnya, pembangunan seharusnya memberi tumpuan kepada menaik taraf bandar-bandar sedia ada seperti Kuah. 

“Kita perlu menyusun semula infrastruktur semasa, membina taman awam dan melaksanakan pelan induk pembangunan yang lebih tersusun. Keutamaan mesti diberikan kepada pemuliharaan alam sekitar, bukannya membiarkan formasi batuan yang berusia ratusan juta tahun lenyap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akibat pengawasan yang longgar,” katanya.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama rakan-rakan pencinta alam  turut mendedahkan pelbagai bukti serta fakta bertulis menerusi dokumen saintifik terdahulu yang mana, terdapat dokumen-dokumen bertarikh tahun 1973, tahun 2000 serta sekitar tahun 2002 hingga 2003 itu mengandungi hasil kajian terperinci yang telah dijalankan di kedua-dua kawasan Bukit Tanjung Mali dan Pulau Rebak Kecil.

Di Pulau Rebak Kecil sendiri, tambahnya, terdapat formasi batuan purba yang dinamakan sebagai Singa Formation, yang terbentuk daripada proses mendapan pasir sehingga membentuk sebuah pulau yang unik dari sudut kepentingan arkeologi serta geologi.

Mengulas mengenai pergerakan komuniti, Mohd Radhi menyatakan pihaknya telah mula turun padang bagi menemui kariah dan penduduk kampung untuk menguar-uarkan isu berkenaan sebaik sahaja mengetahuinya pada 15 Mei lalu.

“Kami sudah menghantar memorandum bantahan berkenaan kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan. Alhamdulillah, usaha ini juga mendapat sokongan dan bantuan yang sangat baik daripada komuniti tempatan seperti kariah masjid, rukun tetangga, dan persatuan silat di sekitar Langkawi.

“Sebagai penduduk tempatan yang mencintai Langkawi dan warisannya, kami percaya terhadap potensi jangka panjang pulau ini. Apabila pulau-pulau terkenal lain di dunia akhirnya terjejas akibat eksploitasi berlebihan, Langkawi yang teguh mempertahankan prinsip pemuliharaan akan menjadi lebih bernilai daripada sebelumnya,” jelasnya.

Menyentuh aspek warisan, beliau berkongsi naratif sejarah lisan daripada orang kampung mengenai tokoh panglima terkenal di Langkawi, iaitu Wan Muhammad Ali atau lebih dikenali sebagai Wan Mali. 

Mengikut kisah sejarah, ujarnya, Bukit Tanjung Mali merupakan lokasi strategik perhimpunan seramai 800 orang pejuang bersama kira-kira 40 buah perahu sewaktu era Perang Musuh Bisik untuk melancarkan serangan balas ke Sungai Merbok selepas Siam menawan Pulau Langkawi, Kuala Kedah dan Merbok.

Tambahnya, tapak berkenaan amat sarat dengan nilai sejarah perjuangan memandangkan catatan lama menunjukkan aras air laut di kawasan pesisir pantai sekitar Pantai Chenang, Pantai Tengah dan Bukit Tanjung Mali pada zaman dahulu adalah lebih tinggi berbanding sekarang, sekali gus memudahkan perahu-perahu pejuang berlabuh dan bergerak ke pulau-pulau lain.

Radhi menjelaskan projek penambakan laut di Pulau Rebak Kecil turut dikhuatiri mengancam kelangsungan hulu air dan kawasan hutan paya (mangrove) yang menjadi benteng semula jadi pantai. 

Kemusnahan habitat marin katanya, dijangka kritikal terutamanya terhadap rantaian makanan hidupan liar termasuk 12 spesies dolfin di Selat Melaka yang sering ke perairan Langkawi untuk mencari makan.

“Sekiranya ekosistem di Pulau Rebak Kecil diganggu, rantaian makanan mereka akan terjejas, sekali gus memaksa ikan lumba-lumba ini bermigrasi ke tempat lain. Perkara ini amat menyedihkan,” katanya, sambil menambah bahawa populasi burung unik di pulau itu turut terancam akibat kemerosotan habitat tersebut. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author