Agama
Perkasa perundangan syariah, Perak luaskan bidang kuasa dan hukuman

- Menurut Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor, antara usaha dilihat adalah memasukkan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
- Bidang kuasa Mahkamah Syariah kini tertumpu kepada undang-undang kekeluargaan Islam, had hukuman pula maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
- Pihak pelaksana perundangan syariah berusaha peluas bidang kuasa khususnya hukuman dipertingkatkan supaya timbul kegerunan kepada orang awam melihat satu hukuman berat.
KUALA LUMPUR — Pihak Berkuasa Agama Negeri Perak sedang menggerakkan inisiatif memperkasa sistem perundangan syariah di negeri itu dengan menumpukan kepada peluasan bidang kuasa serta hukuman bagi memastikan pelaksanaan undang-undang Islam lebih berkesan dan menyeluruh.
Menurut Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor, antara usaha dilihat adalah memasukkan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
“Ketika ini bidang kuasa Mahkamah Syariah lebih tertumpu kepada undang-undang kekeluargaan Islam, manakala had hukuman jenayah masih terikat dengan peruntukan sedia ada iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
“Pihak kami khususnya pihak pelaksana perundangan syariah sedang berusaha untuk peluasan bidang kuasa khususnya hukuman tersebut dipertingkatkan supaya mendatangkan suatu kegerunan kepada orang awam melihat satu hukuman berat di situ,” katanya dipetik media tempatan pada Sabtu.
Ab Rahman turut memaklumkan bahawa Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak yang berkuat kuasa lebih 35 tahun tanpa sebarang pindaan juga sedang dikaji semula dan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dikemas kini
Bagaimanapun, Ab Rahman menjelaskan sebarang pindaan berkaitan hukuman jenayah di Mahkamah Syariah masih tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang perlu dipinda terlebih dahulu di peringkat Parlimen.
“Untuk rekod, Akta 355 adalah undang-undang persekutuan yang menetapkan had bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah yang digubal pihak berkuasa negeri.
“Melalui usaha pemerkasaan ini, jurang antara sistem kehakiman syariah dan kehakiman sivil dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman Islam,” katanya. — The Merdeka Times
