Connect with us

Politik

(VIDEO) Pelaburan RM2.5 bilion, Negeri hanya dapat RM15 juta: Agihan hasil negeri-federal wajar dikaji semula – MB Terengganu

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KEMAMAN — Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa agar agihan hasil antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dikaji semula bagi memastikan pembahagian yang lebih adil dan seimbang, terutama melibatkan negeri-negeri yang menerima pelaburan besar seperti Terengganu.

Dalam satu ucapan, beliau mendedahkan satu contoh pelaburan berjumlah RM2.5 bilion di Kemaman pada tahun 2024, yang hanya memberikan pulangan RM15 juta kepada kerajaan negeri bagi tempoh pajakan selama 20 tahun, walaupun tanah seluas 70 ekar digunakan.

“Jumlah yang diterima oleh kerajaan negeri hanya RM15 juta, sedangkan keuntungan syarikat dan cukai pendapatan pekerja semuanya dibayar kepada kerajaan pusat,” katanya menerusi satu klip video Ceramah Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 1.0 yang diadakan di Kemaman, Terengganu.

Menurut beliau, berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan, hasil yang diterima negeri adalah sekitar RM25 juta setahun, berdasarkan kiraan per kapita rakyat Terengganu yang berjumlah 1.2 juta orang.

Beliau menambah, selepas beberapa siri desakan, jumlah itu ditambah sedikit menjadi RM28 juta setahun.

Selain itu, kerajaan negeri menerima bantuan pembangunan ekonomi dan peruntukan berdasarkan jaringan jalan raya, namun jumlah keseluruhan masih kurang daripada RM100 juta, manakala bantuan jalan raya bernilai sekitar RM200 juta setahun.

“Walaupun banyak pelaburan yang masuk, hasil yang paling banyak hanya diterima oleh kerajaan pusat. Kerajaan negeri mungkin hanya mendapat kurang daripada 5 peratus, dan dalam keadaan tertentu hanya 1 peratus sahaja,” ujar beliau.

Ahmad Samsuri turut mencadangkan supaya sistem agihan hasil diteliti semula sekiranya Perikatan Nasional diberi mandat mentadbir negara.

Beliau menggesa satu reformasi fiskal dilakukan untuk mewujudkan sistem federalisme fiskal yang lebih seimbang.

Sebagai contoh, beliau merujuk sistem di Jerman di mana pembahagian peruntukan kepada negeri ditentukan oleh institusi bebas, bukan oleh Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.

Sistem itu, katanya, bebas daripada tekanan politik dan tidak terjejas dengan pertukaran kerajaan pusat.

“Yang penting ialah pembahagian yang adil dan jauh daripada tekanan politik. Tidak boleh dijadikan sebagai rotan kepada negeri-negeri. Kalau tak sokong aku, aku tak bagi peruntukan. Itu tidak wajar,” tegasnya.

Beliau turut menegur dakwaan bahawa kerajaan pusat memberi banyak bantuan kepada Terengganu, sedangkan projek-projek yang berjalan telah diluluskan bertahun lebih awal dan perlu diteruskan bagi mengelakkan pembaziran dan ketidaksiapan.

Justeru itu, beliau menggesa supaya kajian semula dilakukan terhadap sistem sedia ada dan menyeru sokongan semua negeri bagi mewujudkan satu model baru yang lebih adil dan bebas daripada pengaruh politik. — The Merdeka Times

Author