Ekonomi
SG4 entiti ekonomi pelengkap kepada Kerajaan Persekutuan, bukan pesaing – Annuar Musa

- State Government 4 (SG4) gabungan kerjasama empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
- Menurut Penasihat Komunikasi SG4, Tan Sri Annuar Musa, SG4 bukan ditubuhkan untuk bersaing dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya ingin menjadikan negara ini lebih baik, efisien dan cekap agar negara dapat dibangunkan bersama.
- Jika SG4 diuruskan dengan baik, maka negara juga dapat untung.
- Contohnya, 70 peratus daripada pengeluaran makanan utama negara datangnya daripada SG4.
KUALA LUMPUR — Kewujudan State Government 4 (SG4) yang menggabungkan kerjasama empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, bukan bertujuan untuk bersaing dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya SG4 berperanan sebagai pelengkap dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Penasihat Komunikasi SG4, Tan Sri Annuar Musa menegaskan adalah tidak tepat jika ada yang melihat pembentukan SG4 adalah untuk bersaing atau berlumba dengan Kerajaan Persekutuan, kerana mereka sebaliknya ingin menjadikan negara ini lebih baik, efisien dan cekap agar negara dapat dibangunkan bersama.
Tambah beliau, sekiranya SG4 diuruskan dengan baik, maka negara juga yang akan mendapat keuntungan daripada kerjasama antara empat negeri itu.
Sebagai contoh, menurut beliau jika kita berbicara tentang isu sekuriti makanan, 70 peratus daripada pengeluaran makanan utama negara datangnya daripada negeri-negeri di bawah SG4, termasuk sumber karbohidrat seperti beras, serta sumber protein seperti ikan, daging dan ayam.
“Kalau SG4 dapat buat sesuatu dengan lebih berkesan kerajaan pusatlah yang untung, sebagai contoh kalau pengeluaran makanan dapat dipertingkatkan SG4 sehingga ada surplus (lebihan) maka bila ada surplus kita mengeksport bila kita mengeksport hasilnya dapat kepada negara.
“Katakanlah sekarang ini kita mengimport daging daripada Thailand kalau SG4 dapat melihat perkara daripada SG4, dieksport pula ke Thailand, maka negaralah untung jadi kena tengok SG4 sebagai entiti ekonomi melalui permuafakatan pentadbiran negeri yang menyumbang kepada kemajuan negara.
“Saya faham banyak orang tengok bila kita bentuk SG4, macam nak berlawan, macam kita nak berlumba dengan kerajaan pusat, itu salah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini lewat malam tadi.

Foto : Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli & Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang, Mohd Nassuruddin Daud.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang, Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Sementara itu, Annuar Musa juga berharap beliau dapat membantu secara berkala dan berterusan dalam menyampaikan maklumat kepada pihak media, khususnya berkaitan data dan perkembangan penggubalan dasar yang diselaraskan di peringkat SG4.
Beliau juga menginginkan pihak media mengurangkan pelaporan perkara berlandaskan sentimen yang disifatkan ia adakala tidak memberi sebarang sumbangan kepada pembangunan negara.
“Kalau kita tengok secara menyeluruh kita akan lebih memahami negeri-negeri SG4 adalah negeri-negeri yang sangat strategik kepada negara secara keseluruhan, tetapi banyak maklumat-maklumat itu tidak dilihat kadangkala bukan salah media (tapi) negeri berkenaan sendiri pun tidak mengemukakan maklumat, rancangan, agenda kadang-kadang (sebaliknya) kita banyak mengambil perkara-perkara yang sensasi, berita-berita semasa,” katanya.— The Merdeka Times
