Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Malaysia tidak harus pikul beban Rohingya bersendirian – Tun Mahathir

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beban menangani isu pelarian Rohingya tidak seharusnya ditanggung oleh Malaysia sahaja, sebaliknya negara-negara serantau lain perlu turut bertanggungjawab.

Menjawab soalan berhubung peranan ASEAN dalam membantu pelarian Rohingya, Tun Mahathir menyatakan rasa sedih terhadap nasib komuniti tersebut yang sering ditolak dari satu negara ke negara lain hingga ada antara mereka yang kehilangan nyawa di laut.

Beliau berkata, Malaysia sudah banyak memberi bantuan dan menerima kehadiran pelarian Rohingya, namun keadaan ini tidak boleh berterusan tanpa sokongan negara lain di rantau ini.

“Kita sedih dengan nasib orang Rohingya ini dan kita bagi bantuan. Sudah ramai mereka datang ke Malaysia. Tetapi negara-negara lain juga perlu pikul beban ini. Janganlah Malaysia saja,” katanya lagi.

Menurut beliau, punca utama konflik Rohingya bermula sejak zaman penjajahan British, apabila Burma (kini Myanmar) digabungkan daripada pelbagai wilayah etnik berbeza seperti orang Karen dan Rohingya, demi memudahkan pentadbiran kolonial.

“Burma sebenarnya adalah sebuah negara yang berlainan penduduknya. Iaitu ada bahagian-bahagian yang diduduki oleh etnik yang lain. Ada orang Karen, ada orang Rohingya. Jadi dia bukan satu negara,” katanya di podcast Garis Krisis (GK) bertajuk “POV Tun Mahathir: 100 Tahun Melihat Dunia” yang disiarkan di YouTube The Merdeka Times.

Tun Mahathir turut menekankan bahawa Rohingya tidak menuntut untuk membentuk kerajaan sendiri, sebaliknya hanya mahukan pengiktirafan sebagai rakyat yang sah di Myanmar.

“Cuma nak iktiraf mereka ada hak di Burma. Walaupun sekarang ini dikenali dengan nama Myanmar,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau membandingkan pendekatan Malaysia yang menerima kepelbagaian bangsa dan latar belakang dengan Myanmar yang menurutnya menafikan hak etnik minoriti.

“Di Malaysia kita terima orang berbagai bangsa, pendatang… kita mempunyai kerajaan yang mana keturunan kaum pendatang ini juga mengambil bahagian dalam kerajaan. Supaya kepentingan mereka tidak diketepikan,” tambah Tun.

Sebaliknya, katanya, Myanmar hanya mahu dikuasai oleh etnik Burma, manakala etnik lain seperti Karen dan Rohingya langsung tidak diberi hak dalam pemerintahan negara itu.

“Itulah yang menyebabkan tuntutan dibuat oleh mereka untuk mendirikan kerajaan sendiri,” tegas beliau. -The Merdeka Times

Author