Teknologi
Loji Rawatan Air Langat 2 terima tiga pengiktirafan Malaysia Book of Records

- Projek bernilai RM210 juta itu diiktiraf atas tiga pencapaian kebangsaan — Sistem paip penghantar untuk sisa rawatan air pertama di Malaysia, sistem paip penghantar terpanjang untuk sisa rawatan air iaitu 1.918 kilometer dan sistem skru ‘shaftless’ terpanjang di Malaysia iaitu 46 meter.
- Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar berkata Pakej 3 yang siap sepenuhnya secara rasmi pada 13 April lalu bukan sekadar menandakan kejayaan penyiapan satu lagi projek infrastruktur, tetapi turut mencerminkan satu langkah transformasi penting dalam sektor air negara.
KUALA LUMPUR — Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 (Pakej 3) yang dibangunkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hasil kerjasama dengan kontraktor projek, Salcon Engineering Berhad telah menerima tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Projek bernilai RM210 juta itu diiktiraf atas tiga pencapaian kebangsaan — Sistem paip penghantar untuk sisa rawatan air pertama di Malaysia, sistem paip penghantar terpanjang untuk sisa rawatan air iaitu 1.918 kilometer dan sistem skru ‘shaftless’ terpanjang di Malaysia iaitu 46 meter.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar berkata Pakej 3 yang siap sepenuhnya secara rasmi pada 13 April lalu bukan sekadar menandakan kejayaan penyiapan satu lagi projek infrastruktur, tetapi turut mencerminkan satu langkah transformasi penting dalam sektor air negara.
“Selesainya Pakej 3 juga merupakan penanda pencapaian terakhir bagi Projek Mega Langat 2, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu loji rawatan air terbesar di Malaysia.
“Pencapaian besar ini mencerminkan keupayaan Malaysia dalam melaksanakan penyelesaian kejuruteraan bertaraf dunia, serta pendekatan perintis dalam pengurusan sisa melalui pelaksanaan sistem paip penghantar yang pertama kali digunakan dalam industri air negara,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian anugerah MBOR yang diadakan di Tapak Pakej 3 di Cheras, Selangor hari ini.
Antara yang hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd Din; Timbalan Pengerusi Eksekutif Salcon Berhad, Tan Sri Datuk Tee Tiam Lee; Ketua Pegawai Eksekutif, Salcon Engineering Berhad, Jamiluddin Amini Sulaiman dan Wakil Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh.

Foto: Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar berucap di majlis tersebut.
Dengan kapasiti rawatan 1,130 juta liter sehari, Langat 2 merupakan salah satu kemudahan infrastruktur air terbesar di rantau ini.
Ia berupaya menjana sehingga 400 tan sisa harian, bergantung kepada kualiti air mentah yang diperoleh dari Empangan Kelau di Pahang dan dihantar melalui terowong aliran graviti sepanjang 45 kilometer yang mengalirkan kira-kira 1.89 bilion liter air mentah setiap hari ke LRA Langat 2 di Selangor.
Zulkiflee berkata mengikut kaedah tradisional, pengurusan jumlah sisa sebanyak itu memerlukan sekurang-kurangnya 96 perjalanan lori sehari, atau lebih 35,000 perjalanan setahun — menyebabkan risiko keselamatan jalan raya, peningkatan pelepasan karbon dan mendedahkan masyarakat sekeliling dengan habuk dan bau yang secara langsung memberi kesan terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.
Jelasnya lagi, sistem penghantar itu direka untuk mengendalikan sehingga 120 tan sisa sejam, dan ia beroperasi sehingga lapan jam sehari bagi memenuhi jumlah keupayaan diperlukan.

Foto: Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa (empat, kanan) bergambar berlatar belakangkan sistem paip tersebut.
Untuk rekod, PAAB telah diberi mandat untuk membangunkan Loji Rawatan Air Langat 2 yang merangkumi 26 pakej di kawasan utama sekitar Lembah Klang, termasuk koridor barat dan utara Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang, dan Keramat AU3.
PAAB ditubuhkan pada Mei 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara, sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang paling ekonomi. — The Merdeka Times
