Connect with us

Terkini

(VIDEO) Demokrasi bukan jaminan kestabilan, Tegas Tun Mahathir

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi pandangan kritikal terhadap pelaksanaan sistem demokrasi, dengan menegaskan bahawa walaupun ia dianggap sistem terbaik berbanding autokrasi, namun ia tidak menjamin kestabilan, kemanusiaan mahupun kemajuan sesebuah negara.

Dalam satu sesi temu bual baru-baru ini, Dr Mahathir menyatakan bahawa banyak negara yang mengamalkan demokrasi masih bergelut dengan pelbagai isu serius.

Menurutnya, salah satu kelemahan besar sistem demokrasi ialah ketidakstabilan politik yang sering berlaku akibat tekanan berterusan daripada rakyat terhadap kerajaan yang mereka sendiri pilih.

“Demokrasi ini satu sistem yang tidak mudah diamalkan kerana kita memberi kuasa kepada banyak pihak dan kerajaan dalam demokrasi selalu terancam oleh rakyat.

“Selepas kerajaan ditubuh, rakyat membuat tuntutan secara keras, termasuk tunjuk perasaan jalanan. Ini menyebabkan kerajaan tidak dapat memerintah dengan licin,” jelas Dr Mahathir di podcast Garis Krisis (GK) bertajuk “POV Tun Mahathir: 100 Tahun Melihat Dunia” yang dihoskan petugas kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain dan disiarkan di YouTube The Merdeka Times.

Beliau menambah bahawa tekanan berterusan ini menjadikan demokrasi sukar untuk berfungsi secara stabil, dan ketidakstabilan itu seterusnya memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

Walaupun mengakui bahawa demokrasi lebih baik daripada autokrasi, Dr Mahathir berkata sistem itu turut menghadapi cabaran besar apabila rakyat menyalahgunakan kebebasan yang diberikan.

“Apabila rakyat menubuh terlalu banyak parti politik, maka tak ada satu pun parti yang mampu mendirikan kerajaan. Semuanya kecil-kecil belakang. Di negara demokratik yang berjaya, biasanya hanya ada dua parti utama sahaja,”katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa rakyat perlu memahami secara mendalam kelemahan sistem demokrasi dan tidak hanya menumpukan kepada kebebasan semata-mata.

“Kalau mereka cuma utamakan kebebasan dan mereka boleh buat apa saja, maka keadaan dalam demokrasi tidak stabil dan rosaklah negara itu,” jelas beliau. — The Merdeka Times

 

Author