Terkini
“Menggelupur sangat bila kita bersatu” – Akmal Bidas AMK
- Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang mendakwa UMNO sanggup “mencium tapak kaki” lawan demi mendapatkan kuasa susulan sokongan terhadap kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.
- “Bila kita nak satukan parti politik Melayu dia kata kita cium tapak kaki pula. Kalau ikut logik AMK ni,kerjasama dia dengan DAP maknanya dia pon cium tapak kaki DAP lah yer. Patutlah begitu jadinya. Kesian mengelupur sangat bila kita bersatu ya,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang mendakwa UMNO sanggup “mencium tapak kaki” lawan demi mendapatkan kuasa susulan sokongan terhadap kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Akmal mempersoalkan logik dakwaan itu dengan membandingkannya dengan kerjasama PKR bersama DAP dalam Pakatan Harapan.
“Bila kita nak satukan parti politik Melayu, dia kata kita cium tapak kaki pula. Kalau ikut logik AMK ini, kerjasama dia dengan DAP maknanya dia pun cium tapak kaki DAPlah, ya?
“Patutlah begitu jadinya. Kesian menggelupur sangat bila kita bersatu, ya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Reaksi itu menyusuli kenyataan AMK Selangor yang mendakwa UMNO kini terpaksa bergantung kepada parti lawan untuk meraih kuasa selepas Ketua Pemuda UMNO Kapar menyokong kerjasama politik antara BN dan PAS.
Setiausaha AMK Selangor, Ghafurullah Ismail berkata, pendirian berkenaan menunjukkan UMNO tidak lagi mampu berdiri dengan kekuatan sendiri meskipun menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa UMNO lebih cenderung bekerjasama dengan parti yang pernah menjadi lawannya demi kepentingan pilihan raya.
“Ini menunjukkan bagaimana parti yang kononnya keramat bangsa ini sanggup ‘cium tapak kaki’ lawan semata-mata untuk mendapatkan kuasa, sedangkan dalam Kerajaan Perpaduan mereka dilayan seperti rakan kongsi yang berharga,” katanya. – The Merdeka Times