Terkini
“Tidak akan ada undang-undang syariah di Burkina Faso” – Traore
- Pemimpin Burkina Faso, Kapten Ibrahim Traoré menyuarakan kebimbangan selepas mendakwa kira-kira 800 daripada 1,000 pelajar negara itu di Arab Saudi mengikuti pengajian syariah dan undang-undang Islam, bukannya bidang kemahiran seperti kejuruteraan, sains atau teknologi.
- “Mereka mahu mempelajari syariah ini untuk kembali dan melaksanakannya di negara mana? Saya seorang Muslim, tetapi setiap rakyat Burkina Faso berhak mengamalkan agama masing-masing. Tidak akan ada undang-undang syariah di negara ini,” katanya.
OUAGADOUGOU – Pemimpin Burkina Faso, Kapten Ibrahim Traoré menyuarakan kebimbangan selepas mendakwa kira-kira 800 daripada 1,000 pelajar negara itu di Arab Saudi mengikuti pengajian syariah dan undang-undang Islam, bukannya bidang kemahiran seperti kejuruteraan, sains atau teknologi.
Dalam satu ucapan yang dilaporkan antara 16 hingga 19 Julai 2026, Traoré menegaskan bahawa kepentingan negara perlu mengatasi pegangan mana-mana agama.
“Saya seorang Muslim, tetapi setiap rakyat Burkina Faso berhak mengamalkan agama masing-masing. Tidak akan ada undang-undang syariah di negara ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana pelajar berkenaan boleh meninggalkan Burkina Faso tanpa pengetahuan kerajaan untuk mengikuti pengajian tersebut.
“Mereka mahu mempelajari syariah ini untuk kembali dan melaksanakannya di negara mana?” soalnya.
Menurut Traoré, Burkina Faso memerlukan golongan muda yang memiliki kemahiran praktikal untuk membangunkan negara, bukannya fahaman agama yang boleh mencetuskan ekstremisme.
Beliau memberi amaran bahawa kerajaan akan membawa pulang pelajar terbabit, manakala mereka yang enggan kembali berdepan kemungkinan kewarganegaraan Burkina Faso ditarik balik.
Traoré turut berkata beliau akan membincangkan perkara itu secara langsung dengan Kedutaan Arab Saudi. – The Merdeka Times