Terkini
Perjanjian Lynas-Pentagon cacatkan kredibiliti Malaysia bela Palestin – BDS
- “Perjanjian ini, jika diteruskan atau dilaksanakan, akan sangat menjejaskan dasar Malaysia dalam isu Palestin. Ini akan memberi lebih modal kepada pihak yang selama ini menyatakan kerajaan banyak membuat laungan lantang menyokong perjuangan Palestin dan menentang kezaliman Zionis, namun dalam aspek tindakan, tidak ada tindakan konkrit yang dilakukan,” – Pengerusi BDS Malaysia, Prof Dr Nazari Ismail
- Perjanjian berkenaan membolehkan Pentagon membeli oksida nadir bumi ringan dan berat daripada kemudahan pemprosesan Lynas di Gebeng, Pahang.
- Bahan itu digunakan dalam pelbagai teknologi termasuk radar, peluru berpandu dan pesawat pejuang, sekali gus mencetuskan kebimbangan ia boleh memasuki rantaian bekalan senjata Amerika Syarikat yang turut menyokong operasi ketenteraan Israel.
KUALA LUMPUR – Perjanjian bekalan nadir bumi bernilai RM450 juta antara Lynas Rare Earths dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) dikhuatiri mencalar kredibiliti Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Pengerusi Boycott, Divest, Sanction (BDS) Malaysia, Prof Dr Nazari Ismail berkata, pelaksanaan perjanjian selama empat tahun itu akan menguatkan persepsi bahawa pendirian tegas kerajaan terhadap kekejaman Israel tidak disusuli tindakan konkrit.
“Perjanjian ini, jika diteruskan atau dilaksanakan, akan sangat menjejaskan dasar Malaysia dalam isu Palestin.
“Ini akan memberi lebih modal kepada pihak yang selama ini menyatakan kerajaan banyak membuat laungan lantang menyokong perjuangan Palestin dan menentang kezaliman Zionis, namun dalam aspek tindakan, tidak ada tindakan konkrit yang dilakukan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Perjanjian berkenaan membolehkan Pentagon membeli oksida nadir bumi ringan dan berat daripada kemudahan pemprosesan Lynas di Gebeng, Pahang.
Bahan itu digunakan dalam pelbagai teknologi termasuk radar, peluru berpandu dan pesawat pejuang, sekali gus mencetuskan kebimbangan ia boleh memasuki rantaian bekalan senjata Amerika Syarikat yang turut menyokong operasi ketenteraan Israel.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa yang dipengerusikan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, sebelum ini turut menyatakan perjanjian tersebut berpotensi menjejaskan reputasi Malaysia sebagai penyokong teguh Palestin.
Nazari berkata, BDS Malaysia bersama pertubuhan bukan kerajaan lain akan terus membantah serta mendesak kerajaan membuktikan komitmennya dalam menentang kekejaman Israel.
“Kita akan mendesak pihak kerajaan untuk mengotakan apa yang mereka katakan berkenaan sokongan mereka kepada perjuangan menentang kezaliman Zionis di Palestin,” katanya.
Beliau berkata, BDS Malaysia juga akan bekerjasama dengan rangkaian BDS antarabangsa untuk membawa bantahan itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain meneliti tindakan undang-undang bersama Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA).
BDS Malaysia sebelum ini menyertai lebih 20 pertubuhan masyarakat sivil yang menggesa pengawasan lebih ketat terhadap rantaian bekalan nadir bumi negara. – The Merdeka Times