Connect with us

Agama

‘Group swinger’: Amaran penyakit sosial makin parah, boleh kenakan hudud rejam sampai mati

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman (kiri) & Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (kanan)
  • Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata dalam hal ini kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati, tetapi mesti bergerak bersama para ulama, pemimpin, ibu bapa, pendidik, media dan rakyat untuk membendungnya dari akar umbi.
  • Beliau sarankan pihak berkuasa ambil tindakan tegas terhadap laman sosial atau platform yang digunakan untuk sebar budaya maksiat.
  • Mengikut perundangan Islam, seorang lelaki atau wanita yang telah berkahwin lalu berzina, boleh dijatuhkan hukuman Hudud iaitu direjam sampai mati.
  • Hukum benarkan isteri berzina, bahkan mendorongnya adalah haram dan dosa besar.
  • Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir turut menyatakan pandangan sama dengan menegaskan bahawa suami tersebut dalam kategori dayyuth atau dayus iaitu merelakan maksiat dilakukan isteri dan ahli keluarga.

KUALA LUMPUR — Susulan isu kewujudan ‘group swinger’ atau pertukaran pasangan untuk tujuan hubungan seks, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menegaskan apa yang sedang berlaku ketika ini adalah satu amaran jelas bahawa penyakit sosial dalam masyarakat semakin parah.

Mohd Sukki berkata dalam hal ini kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati, tetapi mesti bergerak bersama para ulama, pemimpin, ibu bapa, pendidik, media dan rakyat untuk membendungnya dari akar umbi.

Beliau juga menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap laman sosial atau platform yang digunakan untuk menyebarkan budaya maksiat, termasuk menyiasat, menyekat dan mendakwa individu terlibat di bawah undang-undang sedia ada.

Katanya, mengikut perundangan Islam, seorang lelaki atau wanita yang telah berkahwin lalu melakukan perzinaan, boleh dijatuhkan hukuman Hudud iaitu direjam sampai mati.

“Fenomena ‘group swinger’ atau pertukaran pasangan untuk tujuan hubungan seks adalah satu bentuk kemungkaran besar yang sangat menjijikkan di sisi Islam.

“Ia bukan sahaja melanggar batasan akhlak dan moral, bahkan merupakan satu dosa besar yang boleh menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat.

“Aktiviti sebegini turut membawa kepada penyebaran penyakit kelamin dan kerosakan moral dalam masyarakat,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kewujudan sebuah grup Facebook yang didakwa menjadi platform buat kelompok lelaki atau suami mencari pasangan lain bagi melakukan hubungan seks, termasuk bersama isteri orang atau bertukar pasangan.

Ia juga digelar sebagai ‘Group Swinger’ atau kegiatan bertukar-tukar pasangan bagi melakukan hubungan seks bebas yang kini mempunyai lebih 11,500 pengikut di Facebook, dengan kebanyakannya didakwa melibatkan kelompok kaum Melayu.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata hukum membenarkan isteri berzina, bahkan mendorongnya adalah haram dan termasuk dalam kategori dosa besar serta ia menunjukkan hilangnya sifat cemburu yang sepatutnya menjadi sifat fitrah seorang suami.

“Suami yang sanggup membiarkan atau merelakan isterinya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain sama ada atas kerelaan isteri atau dorongan suami sendiri adalah termasuk dalam kategori dayus.

“Dalam Islam, “dayus” merujuk kepada seorang lelaki yang tiada sifat cemburu terhadap maruah isteri dan keluarganya, serta tidak mengambil tindakan terhadap perlakuan maksiat yang berlaku dalam rumah tangganya.

“(rela isteri berzina atau sertai aktiviti “swinger”) Ia bukan sahaja menunjukkan rosaknya akhlak dan pegangan agama, bahkan menunjukkan bahawa lelaki itu telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pelindung maruah keluarga.

“Membiarkan atau menggalakkan isteri berzina adalah suatu kejahatan berganda, kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada dosa zina, tetapi turut menjatuhkan maruah keluarga dan merosakkan zuriat serta keturunan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir turut menyatakan pandangan sama dan menegaskan bahawa suami tersebut dalam kategori dayyuth atau dayus iaitu merelakan maksiat dilakukan isteri dan ahli keluarga.

Ia sebagaimana disebut dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Salim bin Abdullah daripada bapanya; “Tiga golongan yang Allah tidak melihat kepadanya pada hari kiamat: orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang menyerupai lelaki, dan orang yang dayyuth,” (Riwayat Ahmad, al-Nasa’ie).

Jelasnya, punca kepada kegiatan itu berlaku banyak di mana antaranya disebabkan kurang didikan agama dan keruntuhan institusi keluarga di mana tiadanya mawaddah dan sakinah.

Justeru, beliau menasihatkan kepada pihak terlibat supaya memperkukuhkan iman dan takwa kepada Allah serta memperbaiki institusi keluarga, selain mengingatkan pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan itu dan menguatkuasakan undang-undang. — The Merdeka Times



Author