Antarabangsa
(VIDEO) Yahudi minoriti di Amerika, Tapi kuasai media dan kewangan – Tun Mahathir

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa walaupun komuniti Yahudi di Amerika Syarikat merupakan kelompok minoriti, mereka mempunyai pengaruh besar dalam pelbagai sektor penting termasuk media dan kewangan negara itu.
Menurut beliau, dominasi ini menjadikan Amerika Syarikat cenderung menyokong kepentingan Israel, termasuk dalam isu kekejaman terhadap Gaza, tanpa mengambil kira pandangan negara-negara Islam lain.
“Tak ramai, tapi mereka mempunyai kawalan ke atas media, ke atas kewangan di Amerika, semuanya duduk (di tangan mereka),” kata Tun Mahathir dalam satu wawancara eksklusif terbitan The Merdeka Times, podcast Garis Krisis (GK) bertajuk, “POV Tun Mahathir 100 Tahun Melihat Dunia”.
Podcast yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times itu dihoskan oleh petugas kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain.
Dr Mahathir turut menambah bahawa syarikat-syarikat besar di Amerika yang berjaya sebenarnya dimiliki oleh golongan Yahudi, walaupun sering digambarkan sebagai milik Amerika secara umum.
“Kita tahu bahawa syarikat-syarikat gergasi Amerika yang berjaya sebenarnya milik orang Yahudi. Walaupun dikatakan Amerika lah, tapi sebenarnya milik orang Yahudi,” ujarnya.
Mahathir mendakwa komuniti ini turut mendorong perluasan wilayah Israel ke arah projek ‘Greater Israel’ dengan menawan bahagian tertentu negara-negara Arab yang berdekatan.
“Mereka ini berhajat untuk membesarkan negara Israel ini menjadi Greater Israel. Dan caranya ialah supaya menawan bahagian-bahagian tertentu negara-negara Arab yang di sekelilingnya,” katanya.
Menurut Mahathir, pengaruh Yahudi di Amerika juga mampu mempengaruhi dasar luar negara itu. Namun, negara-negara Islam, walaupun berpengaruh, tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menekan Amerika agar lebih adil terhadap Gaza.
“Kalau mereka menekan, saya fikir Amerika Syarikat perlu dengar juga pendapat mereka. Tetapi ternampak jelas bahawa Amerika Syarikat ini sudah dikuasai oleh orang Yahudi,” jelasnya lagi.
Kenyataan tersebut dibuat ketika beliau mengulas sikap negara-negara Islam terhadap serangan Israel ke atas Gaza, yang menurut beliau tidak menunjukkan komitmen membantu rakyat Palestin. — The Merdeka Times
