Kolumnis
Menjual aib sendiri atas nama hiburan

“Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka berbuatlah sesuka hatimu.” (Sahih Bukhari, No. 6120)
Hadis ini adalah satu peringatan keras buat kita bahawa manusia mampu melanggar batasan akhlak dan agama apabila telah hilang rasa malu atau haya’ dalam diri.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pempengaruh secara terbuka mendedahkan dirinya dijangkiti herpes dan secara berseloroh menyalahkan suaminya tanpa segan silu telah menyingkap aib sendiri.
Sekalipun ia dikatakan sebagai konten hiburan, perkongsian ini jelas mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Apatah lagi ia menyentuh hal intim rumah tangga yang sepatutnya menjadi rahsia suami isteri.
Apakah kita kini hidup dalam zaman di mana segala perkara, termasuk kisah dalam kelambu dan gurauan seksual boleh dijadikan bahan gurauan murahan semata-mata demi meraih likes, views dan populariti di media sosial?
Islam larang jaja cerita dalam kelambu
Sedangkan, Rasulullah ﷺ telah memberi amaran keras terhadap sikap yang suka menjaja rahsia suami isteri kepada orang lain.
“Seburuk-buruk manusia di pandangan Allah pada hari Kiamat ialah suami yang melakukan hubungan intim dengan isterinya kemudian menceritakan keintimannya kepada orang lain.” (Sahih Muslim, No. 1427)
Hadith ini melarang seseorang itu mendedahkan perhubungannya dengan isterinya kepada orang lain, keseronokan isterinya, dan secara jelas perkataan atau perkara-perkara yang dilakukan.
Larangan ini bukan hanya kepada suami, tetapi kepada isteri juga diharamkan menceritakan perincian hubungan mereka kepada orang lain.
Apatah lagi mendedahkan perihal ranjang dengan nada bergurau secara sengaja kepada umum.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Asma’ binti Yazid RA bahawa Rasulullah ﷺ mengecam keras perbuatan tersebut dengan memberikan perumpamaan yang dahsyat.
“Adakah mana-mana lelaki yang menceritakan apa yang dilakukan dengan isterinya? Dan adakah mana-mana wanita yang memberitahu apa yang dilakukannya bersama suaminya?”
Mereka diam. Asma’ berkata: “Ya, benar wahai Rasulullah. Lelaki dan wanita melakukannya.”
Baginda bersabda: “Jangan lakukan perkara itu! Sesungguhnya ia seperti syaitan lelaki yang berjumpa dengan syaitan perempuan lalu bersetubuh di jalan, dan orang ramai menyaksikannya.” (Sunan Abi Dawud, No. 2174)
Bayangkan, perbuatan menjaja cerita ranjang itu disamakan dengan seks syaitan secara terbuka.
Mengapakah Islam amat bertegas dengan hal sedemikian walaupun ianya gurauan?
Perkahwinan adalah ikatan suci yang dibina atas dasar kepercayaan, rahmat dan amanah. Setiap pasangan memikul tanggungjawah untuk menjaga maruah dan kerahsiaan rumah tangga.
Lebih-lebih lagi apa yang berlaku dalam bilik tidur adalah sesuatu yang amat peribadi dan maruah pasangan yang wajib dijaga— bukan dijadikan bahan ketawa untuk tontonan awam ataupun strategi pemasaran.
Mendedahkan rahsia pasangan, menyebarkan aibnya tanpa izin atau berkongsi maklumat sulit dengan gurauan lucah adalah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Seorang Mukmin bukanlah orang yang suka mencela atau suka melaknat atau suka berkata kotor atau suka berkata-kata cabul.” (Jami’ at-Tirmidzhi, No. 1977)
Tambahan lagi, apabila hal kelamin dijadikan bahan gurauan secara terbuka dan menggunakan bahasa lucah sehingga boleh menggambarkan adegan yang menjolok mata, sudah pasti ia boleh membuka ruang fitnah yang lebih besar.
Lebih membimbangkan, ia turut menarik perhatian ‘predator’ seksual yang sentiasa menunggu peluang untuk memancing lebih ramai mangsa.
Jadi, apa yang kononnya dianggap sebagai “gurauan” hakikatnya dengan mudah akan menjadi ancaman yang tidak disangka-sangka.
Islam tidak tabu soal hal kelamin tetapi ada adabnya
Islam adalah agama realistik yang mengiktiraf fitrah manusia termasuk keperluan seksual dalam kehidupan berumah tangga.
Walaupun ia kedengaran sensitif, tetap Islam tidak menutup ruang kepada persoalan berkait hubungan suami-isteri lebih-lebih lagi dalam konteks ilmu dan hukum fiqh.
Namun, adab-adabnya perlu diperhatikan seperti penggunaan bahasa yang elok, tujuan yang jelas, bertanyakan kepada ahlinya dan dalam konteks ilmu.
Bahkan, sahabat dan sahabiah pernah bertanya soalan sensitif kepada Rasulullah ﷺ — tetapi cara mereka bertanyakan penuh beradab dan jelas untuk mendapatkan kepastian.
Contohnya, Ummu Sulaim RA bertanya kepada Nabi ﷺ: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah itu tidak merasa malu dari kebenaran. Apakah wajib mandi bagi wanita jika ia mimpi basah? Rasulullah bersabda: ‘Ya, jika ia melihat air (mani)‘” (Sahih Bukhari, No. 6121)
Perhatikan bagaimana soalan tersebut disampaikan: sopan, terus kepada maksud, dan tidak berlebih-lebihan.
Malah, Rasulullah ﷺ pula menjawab hukumnya dengan jelas dan berhemah, tanpa nada menghina atau bergurau lucah.
Dalam kisah lain, Abu Musa Al Asy’ari berkata kepada ‘Aisyah RA: “Wahai Ibu (ibunya kaum mukminin), aku ingin bertanya kepadamu tentang sesuatu, tapi aku malu.
‘Aisyah lalu berkata: ‘Jangan engkau malu bertanya, jika engkau bertanya kepada ibu yang melahirkanmu. dan sesungguhnya aku ini ibumu juga.
Abu Musa lalu berkata: ‘Bagaimana batasan jimak yang mewajibkan mandi?’.
‘Aisyah berkata: ‘Engkau bertanya kepada orang yang tepat, Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Jika seseorang lelaki duduk diantara empat anggota badan istrinya, lalu dua khitan saling bertemu, maka wajib mandi‘” (Sahih Muslim, No. 349)
Perhatikan lagi, para sahabat dan sahabiah terdahulu juga tidak segan untuk membincangkan isu kelamin dan permasalahan rumah tangga yang mereka hadapi.
Namun apa yang membezakan mereka daripada kebanyakan kita hari ini ialah cara mereka mengurus dan membicarakan perkara tersebut.
Pertama, mereka menggunakan bahasa yang elok, sopan dan tidak keterlaluan ketika menyampaikan persoalan yang sangat peribadi itu.
Kedua, mereka tidak sewenang-wenangnya menceritakan kisah peribadi kepada sesiapa sahaja.
Mereka bertanyakan secara terus kepada Rasulullah ﷺ atau sahabat yang tepat dan arif dalam bidang tersebut.
Ketiga, tujuan mereka jelas untuk mendapatkan jawapan betul mengikut syarak daripada ahli pakar. Bukannya untuk menghiburkan orang ramai dengan menjaja cerita keaiban sendiri.
“Bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, 16:43)
Hal ini yang sebetulnya dalam membincangkan soal seksualiti atau dengan niat yang betul, saluran yang tepat, dan adab berbicara dalam hal-hal berkaitan hubungan suami isteri.
Bukan sekadar gurauan lucah atau konten hiburan seperti kebanyakan kita hari ini hingga tersingkap segala keaiban sendiri yang sepatutnya tertutup rapi dek kerana mulut, badan sendiri terbinasa. — The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
