Connect with us

Agama

Perayaan Kuih Bulan punya unsur keagamaan? 

PERAYAAN Kuih Bulan merupakan perayaan yang dirai masyarakat Cina.Tradisi perayaan ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia. Disebabkan itu kita dapat melihat ramai Muslim turut menyambut perayaan Kuih Bulan ini. 

Research And Development MRM

Published

on

Perayaan Kuih Bulan punya unsur keagamaan? 
Foto: Gambar sekadar hiasan.

PERAYAAN Kuih Bulan merupakan perayaan yang dirai masyarakat Cina.Tradisi perayaan ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia. Disebabkan itu kita dapat melihat ramai Muslim turut menyambut perayaan Kuih Bulan ini. 

Maka, persoalan yang sering timbul adalah ‘Bolehkah Muslim terlibat dalam perayaan ini? Adakah perayaan ini merupakan ritual keagamaan ataupun tidak?’ 

Sebelum kita menelusuri hukum menyambut perayaan ini, wajarlah kita mengetahui asal usul dan kisah pensejarahan perayaan Kuih Bulan terlebih dahulu. 

Perayaan Kuih Bulan atau lebih tepat bagi perayaan ini adalah ‘Perayaan Musim Luruh’. Perayaan ini kebiasaannya disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 dalam kalendar lunar Cina. 

Kisah pensejarahan di sebalik perayaan ini memiliki banyak versi dan teori penceritaan. Salah satu teori penceritaan asal-usul paling popular, perayaan ini memiliki unsur-unsur aqidah dan kepercayaan masyarakat Cina berkait dengan kisah mitos Dewi Bulan yang bernama Chang Er. 

Dalam kisah ini, Chang Er adalah seorang manusia biasa pada awalnya yang memiliki seorang suami bernama Hou Yi. Pada ketika itu, Bumi dikatakan mempunyai sepuluh matahari. Pada suatu hari, kesemua matahari terbit pada waktu sama yang telah mengakibatkan kepanasan melampau. Maka, Hou Yi, yang juga seorang pemanah handal, bertekad untuk memanah kesembilan matahari itu dan ditinggalkan hanya satu matahari. 

Atas jasa baik beliau, Hou Yi dihadiahkan ubat kekal abadi. Namun demikian, Hou Yi tidak memakan ubat tersebut kerana beliau tidak mahu hidup kekal abadi tanpa isterinya.  

Pada suatu hari semasa Hou Yi keluar memburu, anak muridnya Fengmeng telah memecah masuk rumah pasangan itu untuk merampas ubat tersebut. Dalam keadaan kelam kabut, Chang Er tertelan ubat itu. Ubat tersebut membuatkan dirinya terapung dan terbang ke atas langit.

Disebabkan Chang Er berubah menjadi dewi yang hidup kekal abadi, beliau memilih menetap di bulan supaya dapat berdekatan dengan suaminya. Selepas Hou Yi mengetahui perkara tersebut, beliau merasa sedih. Lalu setiap bulan pada hari kelima belas, beliau akan menyediakan makanan kesukaan Chang Er dengan harapan dapat melihat isterinya ketika bulan penuh. 

Hasil daripada mitos itulah sebab masyarakat Cina dahulu menyembah Dewi Bulan. Namun, ia bukanlah versi utama mengapa masyarakat Cina meraikan Perayaan Kuih Bulan ini. 

Terdapat teori penceritaan lain yang turut disandarkan kepada perayaan ini iaitu kisah kejayaan masyarakat Cina menggulingkan penjajah Dinasti Yuan yang berbangsa Mongolia  dengan menggunakan kuih bulan sebagai ‘senjata’. Kuih bulan digunakan sebagai alat komunikasi rahsia di mana para pemberontak meletakkan kertas mesej dalam kuih tersebut untuk disampaikan kepada masyarakat sekitar. Kertas tersebut tertulis:  

八月十五杀鞑子 bermaksud: “Bunuhlah orang Tatar (Mongolia) pada hari ke-15 bulan ke-8!”

Maka pada malam hari ke-15 bulan ke-8, semua penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat pun keluar beramai-ramai dengan senjata masing-masing, lalu membunuh askar-askar Mongolia.

Kejayaan itu akhirnya menandakan pembebasan China daripada penjajahan. Sejak itu, kuih bulan dijadikan makanan khusus pada Perayaan Musim Luruh sebagai cara memperingati usaha kemerdekaan daripada penjajahan. Tiada dokumen asal yang telah merekodkan kemenangan orang China terhadap penjajah Mongol disebabkan strategi kuih bulan mereka. 

Walaupun begitu, kedua-dua teori penceritaan ini tiada asas yang kukuh melainkan ia hanyalah semata-mata kisah rakyat yang diceritakan turun temurun. Namun dikatakan inilah asbab sambutan perayaan kuih bulan dalam masyarakat cina sehingga kini. 

Setelah meneliti beberapa sisi sejarah, mitos serta falsafah perayaan ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah berpandangan perayaan Kuih Bulan adalah harus dan dibenarkan di sisi Islam. Ia lebih dilihat sebagai festival kekeluargaan, bukannya upacara keagamaan kerana pensejarahan dan mitos yang kabur dan bercampur aduk ini menyebabkan ia tidak boleh dihukum dengan tetap sebagai perayaan keagamaan. 

Menurut bekas Mufti itu, unsur-unsur aqidah dan kepercayaan masyarakat Cina berkaitan perayaan Kuih Bulan telah terhapus pada masa sekarang. Maka, ia bukan lagi dikategorikan sebagai sebuah perayaan keagamaan. 

Namun, perlu ditegaskan bahawa perayaan Kuih Bulan bukanlah daripada asal kepercayaan Islam. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan segala tindakan yang bukan berasal daripada kepercayaan Islam supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Seperti yang dinyatakan dalam hadith Nabi Muhammad SAW yang bersabda: 

“Sesiapa yang bertasyabbuh dengan sesuatu kaum maka dia sebahagian dari mereka.” (Riwayat Abu Daud, Hadith no 4031) The Merdeka Times

Author

Agama

Bolehkah lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya walaupun hanya lakonan?

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, pelbagai budaya asing mudah menyerap ke dalam kehidupan sesuatu bangsa. 

Research And Development MRM

Published

on

Bolehkah lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya walaupun hanya lakonan?
Foto: Gambar sekadar hiasan.

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, pelbagai budaya asing mudah menyerap ke dalam kehidupan sesuatu bangsa. 

Ketika ini wujud golongan anak-anak gadis membedung payu daranya dan memakai pakaian lelaki, malah ada pula yang sanggup melakukan apa sahaja.

Begitu juga  bagi  golongan lelaki yang  sudah mula berpakaian perempuan (lakonan dalam  sitkom) membentuk buah dada dan menyuntik silikon, walaupun memerlukan perbelanjaan   yang besar.

Malah seakan menjadi satu norma bagi sesebuah filem akan wujud watak-watak lelaki lembut yang berpakaian wanita atau wanita berpakaian lelaki yang bersifat kasar seperti seorang lelaki. 

Namun apabila para ilmuwan mahupun golongan netizen menegur, golongan ini akan mengatakan ia hanyalah sekadar lakonan.  

Perempuan Menyerupai Lelaki & Sebaliknya (Tasyabbuh)

Dalam Bahasa Melayu, anak perempuan bersifat kelakian (misalnya suka memakai pakaian lelaki dan sebagainya) dipanggail ‘tomboy’ dan perkataan ‘mak nyah’ pula selalunya dirujuk kepada lelaki. 

Manakala di dalam Bahasa Arab, perkataan ‘tasyabbuh’ secara lughawinya bermaksud menyerupai sesuatu.

Dari segi perbahasan fiqh pula, ianya bermaksud seorang perempuan yang menyerupai lelaki atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut:

  1. Pakaian
  2. Perhiasan
  3. Percakapan dan suara
  4. Gaya berjalan dan gerak badan
  5. Mengubah bentuk fizikal badan

Hukum Tasyabbuh

Hukum tasyabbuh adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar kerana telah sabit nas-nas syar’ie bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya dengan lisan Nabi SAW. Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:

“Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.” (Sahih Bukhari, Hadis No. 5886)

Islam menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan. 

Hikmah Allah dalam penciptaan sudah pasti membawa pelbagai rahmat dan rahsia-Nya kepada makhluk seperti manusia.

Kami berharap agar rasa takut kepada Allah dan perasaan dalam hati untuk mentaati perintah Allah SWT dengan sami’na wa ata’na (kami dengar dan kami taat) hendaklah sentiasa terpahat di dalam sanubari setiap umat Islam.

Hukum bukanlah diasaskan kepada logik akal semata-mata atau merasakan sebagai kebebasan hak setiap manusia tetapi dalam Islam hendaklah berpandukan wahyu Ilahi dan hadyun nabawi (petunjuk nabi). Inilah yang mesti difahami oleh umat Islam. – The Merdeka Times

Artikel penuh sila rujuk di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Sumber: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending