Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Negara Islam kaya namun lemah kerana tunduk pada Amerika – Tun Mahathir

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewa terhadap perpecahan dalam kalangan negara-negara Islam, khususnya di Timur Tengah, yang menurutnya menjadi penghalang utama kepada usaha menghentikan keganasan Israel terhadap negara Islam lain.

Dalam satu wawancara khas terbitan The Merdeka Times, podcast Garis Krisis (GK), Dr Mahathir berkata negara-negara Islam sebenarnya memiliki kekayaan luar biasa hasil pengeluaran minyak yang jauh mengatasi negara lain.

Namun kekayaan itu, katanya, tidak diterjemahkan kepada kekuatan kolektif yang mampu mempertahankan kepentingan umat Islam.

“Negara Islam ni amat kaya, luar biasa. Kerana minyak lebih banyak dikeluarkan oleh negara Islam daripada mana-mana negara lain. Dan dengan kekayaan itu, mereka mempunyai satu kekuatan,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa beberapa negara Islam di Timur Tengah berpotensi menghentikan serangan Israel jika mereka bersatu dan mengambil tindakan bersama.

Namun realitinya, mereka berpecah. Ada yang menyokong Israel, ada yang bersikap berkecuali dan ada pula yang sekadar memberi sokongan secara lisan tanpa tindakan konkrit.

“Yang menyedihkan lagi ialah baru-baru ini, ada negara Islam yang cuba menyelamatkan Israel… ada yang ternampak menyokong Israel dan menyerang Iran,” katanya penuh kesal.

Beliau berkata demikian di podcast GK bertajuk, “POV Tun Mahathir 100 Tahun Melihat Dunia” yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times dan ia dihoskan oleh petugas kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain.

Menurut Dr Mahathir lagi, tunduknya negara-negara Islam kepada Amerika Syarikat menjadi punca utama kelemahan mereka.

Malah, ada negara Islam yang memberi pinjaman berbilion dolar kepada Washington dan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel atas desakan kuasa Barat tersebut.

“Mereka (negara Islam) banyak bergantung kepada Amerika Syarikat. Bahkan ada yang menganggap Amerika Syarikat adalah penyokong mereka,” ujar Dr Mahathir.

Beliau turut menyentuh tentang pengaruh kuat Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa, terutamanya menerusi kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang digunakan untuk menghalang sebarang tindakan terhadap Israel.

“Dunia tidak dapat bertindak kerana di belakang Israel ialah Amerika Syarikat. Dan Amerika Syarikat mengugut kalau ada sesiapa yang mengambil tindakan terhadap Israel, mereka akan menentang,” tambahnya.

Dr Mahathir menyimpulkan bahawa selagi negara-negara Islam tidak bersatu dan terus bergantung kepada kuasa besar Barat, kekejaman terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Palestin dan Iran akan terus berulang tanpa pembelaan sewajarnya.— The Merdeka Times

Author