Connect with us

Terkini

SIS sebar liberalisme sejak ditubuhkan, termasuk tolak tafsiran ulama muktabar isu berhijab – WAFIQ

Published

on

Foto: WAFIQ menyifatkan fahaman liberalisme dibawakan SIS adalah haram dan menyeleweng.
  • Menurut WAFIQ antara contoh lain adalah SIS tolak penguatkuasaan moral (amar makruf nahi mungkar) dan didakwa pernah membantah pendirian JAWI terhadap gejala sosial seperti berpakaian tidak sopan dan meminum arak.
  • SIS mempersoalkan hukum syarak dengan mempertikaikan status lelaki sebagai pemimpin keluarga berdasarkan Surah An-Nisa’,  kewajipan menutup aurat dan tolak hukum hudud.
  • WAFIQ menyifatkan fahaman liberalisme dibawakan SIS adalah haram dan menyeleweng.

KUALA LUMPUR — Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) didakwa sejak penubuhannya telah menyebarkan fahaman liberalisme dan feminisme di negara ini, termasuk pernah cenderung mengetepikan hadis dan tafsiran ulama muktabar dalam menentukan kewajipan berhijab.

Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) berkata antara contoh lain adalah SIS menolak penguatkuasaan moral (amar makruf nahi mungkar) dan menyokong hak individu untuk berpakaian serta bergaul tanpa kawalan pihak berkuasa agama.

Selain itu, SIS didakwa pernah membantah pendirian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terhadap gejala sosial seperti berpakaian tidak sopan dan meminum arak.

“(SIS juga) Mempersoalkan hukum syarak dengan mempertikaikan status lelaki sebagai pemimpin keluarga berdasarkan Surah An-Nisa’, mempersoal kewajipan menutup aurat dan menolak hukum hudud.

“Mengkritik dan memperlekeh fatwa serta institusi agama. SIS mencabar fatwa Selangor (2014) yang mengharamkan fahaman liberalisme dan pluralisme, termasuk fatwa-fatwa lain berkaitan aurat wanita dan amalan khitan di Malaysia,” kata WAFIQ dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.

Justeru, WAFIQ menyifatkan fahaman liberalisme dibawakan SIS adalah haram dan menyeleweng.

SIS Forum (Malaysia) sebelum ini dilapor mencabar keabsahan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 yang antara lain mengisytiharkan SIS Forum dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia menyaksikan Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman majoriti 3-1 semalam memutuskan pemakaian fatwa itu adalah sah setakat individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama sahaja, dan bukan ke atas sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat seperti SIS Forum.

Foto: Antara Petikan Kenyataan Media WAFIQ.

Sementara itu, WAFIQ menggesa masyarakat Muslim sentiasa berwaspada terhadap sebarang terbitan atau kempen SIS yang membawa ideologi liberalisme dan feminisme.

Kelompok Muslim juga digesa untuk menggelakkan daripada memberi publisiti atau ruang dalam media dan mana-mana institusi kepada SIS yang masih menyebarkan fahaman bertentangan syarak.

“WAFIQ menegaskan bahawa penyebaran fahaman yang menyeleweng, kononnya atas nama hak wanita atau kesaksamaan jantina, tetap haram dan mesti dibendung agar tidak menimbulkan keruntuhan akidah umat Islam di Malaysia.

“Kami menuntut tindakan tegas daripada pihak berkuasa demi menjaga kesucian ajaran Islam,” katanya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author