Agama
SIS cabar fatwa liberalisme, pluralisme: JAIS seru masjid, surau anjur solat hajat

- Ia susulan kes Mahkamah Persekutuan membabitkan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) mencabar keabsahan Fatwa Fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama.
- Seruan itu dibuat menerusi hantaran di Facebook JAIS hari ini yang meminta solat hajat tersebut diadakan selepas sembahyang Jumaat hari ini dan minggu depan, bagi memohon kebaikan dan pertolongan Allah SWT dalam urusan kes berkenaan.
- Rayuan difailkan SIS itu akan diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun ini.
KUALA LUMPUR — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru semua masjid dan surau yang memperoleh kebenaran solat Jumaat di negeri itu melaksanakan solat hajat khas susulan kes Mahkamah Persekutuan membabitkan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) mencabar keabsahan Fatwa Fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama.
Seruan itu dibuat menerusi hantaran di Facebook JAIS hari ini yang meminta solat hajat tersebut diadakan selepas sembahyang Jumaat hari ini dan minggu depan, bagi memohon kebaikan dan pertolongan Allah SWT dalam urusan kes berkenaan.
Media tempatan hari ini turut melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di negeri itu mengadakan solat hajat khas berhubung kes rayuan melibatkan SIS Forum (Malaysia) yang mencabar keabsahan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia berikutan prosiding kes rayuan difailkan SIS Forum dan seorang lagi individu terhadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan kerajaan negeri yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun ini.
“Ini sebagai usaha memohon agar Allah SWT terus memelihara kesucian agama Islam di Selangor serta memberi kebaikan dan pertolongan-Nya kepada Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan mengenai rayuan berkenaan,” katanya pada Jumaat.
SIS Forum (Malaysia) sebelum ini dilapor telah mencabar keabsahan fatwa yang diwartakan pihak berkuasa agama negeri pada 17 Julai 2014, yang mengisytiharkan organisasi itu, mana-mana individu serta kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Cabaran itu bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2020 dan kemudiannya dirayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Mac 2023, yang secara majoriti menolak rayuan tersebut.
Gagal di peringkat Mahkamah Rayuan, SIS Forum Malaysia meneruskan cabaran mereka dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk mencabar keabsahan fatwa tersebut. — The Merdeka Times
