Terkini
Enam pelajar MRSM Terengganu dibuang selepas terlibat kes buli junior
- Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan tidak ada kompromi terhadap perbuatan itu atas apa juga alasan.
- “Apa jua alasan tidak sesekali menghalalkan perbuatan memukul atau apa jua bentuk fizikal yang boleh mencederakan.”
- Asyraf arahkan sebarang rayuan daripada pelajar itu tidak dilayan.
- Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior hingga cedera dalam kejadian di asrama lelaki maktab itu, malam Selasa.
KUALA LUMPUR — Enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Terengganu yang didapati membuli secara fizikal seorang pelajar Tingkatan Dua telah diarahkan dibuang dari insitusi berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook semalam sambil menegaskan tidak ada kompromi terhadap perbuatan itu atas apa juga alasan.
“Sudah berulang kali saya tegaskan bahawa tiada tempat bagi pembuli di mana-mana MRSM.
“Apa jua alasan tidak sesekali menghalalkan perbuatan memukul atau apa jua bentuk fizikal yang boleh mencederakan.
“Saya telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA untuk tidak sesekali berkompromi dalam hal ini.
“Semua pelajar yang terlibat hendaklah dibuang daripada Maktab. Tidak perlu melayani sebarang rayuan,” katanya.

Foto: Tangkap layar komen ditinggalkan Asyraf Wajdi di hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior hingga mengalami kecederaan dalam kejadian di asrama lelaki maktab itu, malam Selasa.
Mangsa berusia 14 tahun itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada jam 6.48 petang Rabu, mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam, 24 Jun lalu.
Menurut laporan polis, mangsa diarahkan dalam keadaan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit, sebelum ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka oleh beberapa pelajar tingkatan tiga.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kejadian berlaku di Asrama Putera MRSM Besut dan disedari oleh warden bertugas yang kemudian mengambil tindakan segera.
Susulan kejadian, mangsa mengalami kesakitan di perut dan rusuk kanan selain kesan lebam di bahagian belakang badan. — The Merdeka Times