Agama
Pemandu cuai sebabkan kematian: Boleh dikenakan diyat 100 ekor unta, kafarah dua bulan puasa – Mufti Perlis

- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke 57/2022 putuskan jika berlaku kemalangan disebabkan kecuaian pemandu, maka pemandu bertanggungjawab ke atas segala kemudaratan yang terjadi sama ada kehilangan nyawa atau harta benda.
- Jika kemalangan itu membabitkan kehilangan nyawa, pemandu terbabit boleh dikenakan hukuman diyat dan kafarah.
- “Perlu kita semua mengambil nota penting bahawasanya soal nyawa adalah soal yang besar, terutama ketika kita memandu membabitkan nyawa orang lain sebab itu dalam fatwa di Negeri Perlis ini, kita menyatakan pemandu yang cuai sehingga menyebabkan kematian, dia mesti membayar diyat dan didenda membebaskan hamba ataupun hamba tidak ada pada zaman ini, berpuasa dua bulan berturut-turut.
- “Diyat dibayar kepada keluarga mangsa — ratusan… seratus ekor unta yang dibayar kepada keluarga, harganya dan ini termasuk juga bagi yang memandu sehingga orang lain mati dengan kecuaiannya,” kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
KUALA LUMPUR — Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke 57/2022 memutuskan bahawa jika berlaku kemalangan disebabkan kecuaian pemandu, maka pemandu bertanggungjawab ke atas segala kemudaratan yang terjadi sama ada kehilangan nyawa atau harta benda.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi hantaran di Facebook semalam berkata jika kemalangan itu membabitkan kehilangan nyawa, pemandu terbabit boleh dikenakan hukuman diyat dan kafarah.
Jelasnya, diyat adalah denda sebagai ganti terhadap nyawa yang diserahkan kepada waris si mati (mangsa kemalangan) kecuali jika waris mangsa memberi kemaafan, sementara kafarah pula ialah memerdekakan seorang hamba beriman.
Tambahnya, jika tiada hamba (pada zaman ini untuk dimerdekakan), maka pemandu terbabit dikehendaki berpuasa dua bulan berturut-turut.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr MAZA Channel.
Dalam hantaran Facebook berbeza membabitkan klip video berdurasi lima minit 40 saat yang dimuat naik hari ini, Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza menjelaskan bahawa kadar bayaran diyat yang perlu dibayar oleh pemandu cuai menyebabkan kematian kepada keluarga mangsa adalah 100 ekor unta.
“Perlu kita semua mengambil nota penting bahawasanya soal nyawa adalah soal yang besar, terutama ketika kita memandu membabitkan nyawa orang lain sebab itu dalam fatwa di Negeri Perlis ini, kita menyatakan pemandu yang cuai sehingga menyebabkan kematian, dia mesti membayar diyat dan didenda membebaskan hamba ataupun hamba tidak ada pada zaman ini, berpuasa dua bulan berturut-turut.
“Diyat dibayar kepada keluarga mangsa — ratusan… seratus ekor unta yang dibayar kepada keluarga, harganya dan ini termasuk juga bagi yang memandu sehingga orang lain mati dengan kecuaiannya.
“Kita juga (dalam fatwa terbabit) memasukkan tanggungjawab hatta empunya haiwan yang membiarkan haiwannya naik ke jalan sehingga orang lain kemalangan dan mati, jika itu merupakan kesengajaannya serta kecuaiannya dia boleh dipersoalkan, dihukum dan mesti membayar.
“Ramai orang memandu sehingga menyebabkan nyawa lain mati, kemudian dia pulang ke rumahnya, percayalah orang-orang yang menyebabkan orang lain mati, jiwanya tidak akan tenteram sehinggalah dia menunaikan apa yang Allah perintahkan, membayar untuk rohnya sendiri dua bulan berturut-turut puasa (kafarah), menyucikan dirinya kerana dia telah menyebabkan hilangnya nyawa orang lain,” katanya.

Foto: Tangkap layar klip video hantaran Facebook Dr MAZA Channel.
Dalam klip video itu, Dr Maza turut menzahirkan dukacita atas kemalangan yang menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilapor maut apabila bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan baru-baru ini.
Beliau berkata dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengambil langkah lebih berkesan untuk mengelakkan kemalangan seperti sedemikian daripada berlaku. — The Merdeka Times
