Kolumnis
Masuk Islam kerana kahwin?
ADA orang memeluk Islam kerana melihat keindahan Islam, ada yang memeluk Islam kerana ingin mendapat bantuan daripada pusat zakat. Malah, ada memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam.
ADA orang memeluk Islam kerana melihat keindahan Islam, ada yang memeluk Islam kerana ingin mendapat bantuan daripada pusat zakat. Malah, ada memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam.
Hari ini, penulis ingin membincangkan isu sesetengah orang memeluk Islam atas faktor perkahwinan.
Dalam Islam, seseorang Muslim hanya boleh berkahwin dengan pasangan Muslim sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah 2: 221 yang bermaksud,
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu”.
Maka, jika seorang bukan Islam ingin berkahwin dengan Muslim, dia perlu memeluk Islam terlebih dahulu.
Sahkah seseorang memeluk Islam kerana perkahwinan?
Syarat sah seseorang memeluk Islam adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah serta memahami dan menerima maksudnya.
Selagi seseorang itu dengan sukarela mengucap dua kalimah syahadah, maka pengislamannya adalah sah.
Ini kerana hidayah milik Allah dan Allah berhak memberi hidayah kepada seseorang mengikut cara yang sesuai dengan individu itu.
Salah satu cara Allah memberi hidayah adalah dengan menemukan individu itu dengan pasangan Muslim dan mendedahkannya dengan Islam.
Perkara sama turut terjadi dalam perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dengan Juwairiyah binti al-Harith, yang merupakan anak kepada ketua Bani al-Mustaliq.
Ketika peperangan kaum Muslimin dan Bani al-Mustaliq berakhir, Juwairiyah telah menjadi tawanan perang. Apabila Juwairiyah meminta bantuan daripada Nabi Muhammad ﷺ untuk membebaskan dirinya, Baginda bersetuju untuk membebaskannya dan menikahinya.
Dengan hasil pernikahan tersebut, tawanan lain dari Bani al-Mustaliq turut dibebaskan kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nabi.
Malahan ayah Juwairiyah, al-Harith juga memeluk Islam selepas itu. Ini menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan salah satu cara untuk menyebarkan Islam.
Pasangan Muslim bertanggung jawab membimbing pasangan mualaf
Walaupun terdapat beberapa golongan mualaf berkahwin setelah mereka mempelajari asas agama Islam, namun ada juga yang tidak pernah belajar tentang agama Islam dan hanya berniat memeluk Islam untuk tujuan perkahwinan.
Islam sudahpun memberi panduan perkahwinan. Dari syarat perkahwinan hingga ke tanggungjawab suami isteri telah diajarkan dalam Islam bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga.
Sekiranya seseorang hanya memeluk Islam tanpa ilmu, ada kemungkinan dia tidak tahu menahu tentang tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, mahupun sebagai suami atau isteri.
Kegagalan memahami konsep kekeluargaan dalam Islam itu boleh mengakibatkan perceraian dan boleh menjadi punca mualaf ingin keluar daripada Islam.
Oleh sebab itu, pasangan Muslim itu tidak boleh bersikap sambil lewa serta memberi kebebasan tanpa had kepada pasangan mualaf mereka kerana ia membuka ruang untuk pasangan mereka keluar Islam apabila berlaku perpisahan.
Maka, Muslim perlu sedar tanggungjawab untuk membimbing pasangannya yang baru memeluk Islam kerana akidah golongan sebegini tidak sekuat orang yang lahir sebagai Muslim dan mereka lebih memerlukan bimbingan daripada pasangan Muslim mereka sendiri. – The Merdeka Times