Connect with us

Terkini

Parallel Pathway: Utamakan keperluan kesihatan awam, buka sementara UiTM untuk bukan bumiputera – MMA

Universiti Teknologi Mara (UiTM) digesa mengutamakan keperluan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada kelompok bukan bumiputera.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz.
  • Universiti Teknologi Mara (UiTM) digesa mengutamakan keperluan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada kelompok bukan bumiputera.
  • Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata kekurangan kritikal pakar dalam negara, khususnya pakar bedah kardiotoraks, menyebabkan tempoh menunggu lama untuk pembedahan kritikal dan membawa kepada kematian.
  • “Ada pesakit menunggu enam bulan hingga setahun untuk pembedahan pintasan dalam sistem penjagaan kesihatan awam kita. Ada yang mati semasa menunggu giliran mereka,” katanya dipetik FMT pada Khamis.
  • Dr Azizan berkata dengan kelaziman penyakit tidak berjangkit yang tinggi di negara ini, dijangkakan jumlah penyakit memerlukan prosedur menyelamatkan nyawa dilakukan pakar bedah kardiotoraks akan meningkat.
  • Portal berita kesihatan CodeBlue pada April lalu melaporkan anggota Lembaga Program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN, Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar mendedahkan bahawa UiTM bersedia untuk membuka program berkenaan secara sementara kepada pelatih dan graduan Parallel Pathway bukan bumiputera sehingga program sama dibuka di Universiti Malaya (UM).

KUALA LUMPUR — Universiti Teknologi Mara (UiTM) digesa mengutamakan keperluan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada kelompok bukan bumiputera.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata kekurangan kritikal pakar dalam negara, khususnya pakar bedah kardiotoraks, menyebabkan tempoh menunggu lama untuk pembedahan kritikal dan membawa kepada kematian.

“Ada pesakit menunggu enam bulan hingga setahun untuk pembedahan pintasan dalam sistem penjagaan kesihatan awam kita. Ada yang mati semasa menunggu giliran mereka,” katanya dipetik FMT pada Khamis.

Dr Azizan berkata dengan kelaziman penyakit tidak berjangkit yang tinggi di negara ini, dijangkakan jumlah penyakit memerlukan prosedur menyelamatkan nyawa dilakukan pakar bedah kardiotoraks akan meningkat.

Portal berita kesihatan CodeBlue pada April lalu melaporkan anggota Lembaga Program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN, Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar mendedahkan bahawa UiTM bersedia untuk membuka program berkenaan secara sementara kepada pelatih dan graduan Parallel Pathway bukan bumiputera sehingga program sama dibuka di Universiti Malaya (UM).

Terbaharu, UiTM dilaporkan kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya menerima kemasukan pelajar dalam kalangan bumiputera sahaja.

Perkara itu ditegaskan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Shahib ketika mengulas berkenaan cadangan membenarkan program latihan ijazah lanjutan kepakaran (Parallel Pathway) kepada bukan bumiputera.

Bagaimanapun, katanya UiTM bersedia dengan apa jua keputusan kerajaan dengan restu Yang di-Pertuan Agong sekiranya perkara itu menjadi keperluan negara.

Mengulas lanjut, Dr Azizan berkata penjagaan kesihatan tidak patut dipolitikkan dan UiTM perlu menyokong usaha melahirkan lebih ramai pakar bedah kardiotoraks.

“Jika UiTM boleh membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa, kami tidak nampak sebab ia tidak boleh membuka pintu kepada semua rakyat Malaysia, atas dasar keperluan,” katanya. — The Merdeka Times

Author