Otomobil
400,000 unit jualan kereta Proton disasar setahun
Proton Holdings Bhd (PROTON) menetapkan matlamat lima tahun akan datang yang agresif dengan menyasarkan jualan tahunan mencecah 400,000 unit.
- Proton Holdings Bhd (PROTON) menetapkan matlamat lima tahun akan datang yang agresif dengan menyasarkan jualan tahunan mencecah 400,000 unit.
- Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah, berkata sasaran jangka sederhana itu akan dicapai menerusi pelaksanaan dua fasa strategi secara berperingkat yang akan memacu perniagaan PROTON di pasaran automotif tempatan dan pasaran eksport.
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) menetapkan matlamat lima tahun akan datang yang agresif dengan menyasarkan jualan tahunan mencecah 400,000 unit.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah, berkata sasaran jangka sederhana itu akan dicapai menerusi pelaksanaan dua fasa strategi secara berperingkat yang akan memacu perniagaan PROTON di pasaran automotif tempatan dan pasaran eksport.
“Strategi Fasa 1 adalah membabitkan pelancaran mercu tanda teknologi lanjutan melalui pengenalan kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu, Fasa 2a pula merangkumi pengenalan model generasi baharu yang diperoleh daripada teknologi Geely di mana penyerapan teknologi canggih Geely akan melonjakkan proposisi dan daya tarikan produk PROTON kepada pasaran.
“Fasa 2b pula membabitkan reka bentuk baharu dan peningkatan teknologi pada rangkaian produk semasa,” katanya kepada BH.
Roslan berkata, kedua-dua model baharu dan program trenkuasa berdasarkan dengan keperluan pasaran dan pelanggan sambil diselaraskan dengan Dasar Automotif Nasional (NAP), Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan keperluan pasaran ASEAN membabitkan Eco Car, Thailand dan Low-Cost Green Car, Indonesia.
“Bagi model baharu, kemasukan PROTON ke dalam segmen SUV dan kenderaan pelbagai guna (MPV) baharu bertujuan untuk memaksimumkan impak dan potensi jualan di mana Proton SUV akan menerajui pelancaran lain melalui mercu tanda teknologi dan ciri majunya.
“Bagaimanapun, rangkaian kuasa baharu akan diguna pakai secara berperingkat yang menekankan kecekapan dan prestasi bahan api,” katanya.
Beliau menjelaskan, strategi pembuatan untuk kedua-dua kilang kenderaan dan enjin juga sudah dikaji semula untuk meningkatkan kapasiti kilang di Tanjung Malim, Perak dalam membangunkan strategi pembuatan keseluruhan.
“Justeru, operasi di kilang di Shah Alam bakal dihentikan sepenuhnya menjelang 2027. Selain itu, PROTON juga akan melaksanakan pembesaran kilang Fasa 1 di Tanjung Malim dengan meningkatkan kapasiti daripada 150,000 unit setahun kepada 250,000 unit setahun.
“Bagi strategi pembesaran kilang Fasa 2 pula akan membabitkan kapasiti 400,000 setahun diperlukan selepas setelah kapasiti Fasa 1 sebanyak 250,000 unit setahun digunakan sepenuhnya.
“Selain itu, strategi pembuatan tren kuasa akan memberi tumpuan kepada pembuatan tempatan bagi enjin GEP3 baharu, yang dihasilkan dengan kerjasama Geely, yang mana kilang pemasangan GEP3 di Tanjung Malim berjaya ditauliahkan pada Julai 2022,” katanya.
Berdasarkan dua operasi syif, kapasiti pengeluaran keseluruhan adalah 330,000 unit setahun untuk kilang di Shah Alam dan Tanjung Malim atau masing-masing 80,000 unit dan 250,000 unit.
Pada masa ini, kilang Tanjung Malim hanya beroperasi dengan satu syif, manakala kilang Shah Alam dengan dua syif, sekali gus menyaksikan kapasiti pengeluaran semasa adalah kira-kira 205,000 unit setahun.
Dalam pada itu, Roslan berkata, adalah penting untuk meningkatkan jumlah jualan dan keuntungan keseluruhan untuk memastikan kemampanan perniagaan jangka panjang.
“Oleh itu, strategi dan aktiviti eksport sedang dijalankan, termasuk segmen import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) luar negara yang memberi tumpuan kepada negara ASEAN dan bukan ASEAN seperti Pakistan, Afrika Selatan, Brunei, Mesir, Bangladesh, Iraq, Kenya, Sri Lanka, Mauritius, Fiji dan Bermuda.
“Pada masa ini, kami memberi tumpuan kepada pasaran pemanduan sebelah kanan dengan beberapa pasaran pemanduan sebelah kiri terpilih di mana kami berdaya saing. Semua model yang dikeluarkan oleh Proton tersedia untuk dieksport selagi ia memenuhi piawaian homologasi pasaran,” katanya.
Tahun lalu, PROTON mengeksport hampir 6,000 unit. Nisbah antara pasaran domestik dan antarabangsa dalam anggaran lima peratus.
Sumber: Berita Harian