Antarabangsa
Lebih ramai orang India miliki hartanah di UK berbanding orang Inggeris
Memetik laporan Financial Express pada 3 September lalu, pemaju kediaman yang berpangkalan di London, Barratt berkata, orang India adalah kumpulan pemilik hartanah terbesar di ibu negara England.
- Lebih ramai orang India memiliki hartanah di UK berbanding orang Inggeris, demikian menurut laporan terkini.
- Kehadiran diaspora India di UK dengan institusi pendidikan yang baik, kemudahan menjalankan perniagaan dan kawasan kosmopolitan antara sebab orang India membeli harta di UK.
- Pelabur India sanggup membelanjakan antara GBP290,000 hingga GBP450,000 (RM1.49 juta dan RM2.31 juta) bagi memiliki sebuah pangsapuri serta dua, tiga bilik di ibu negara itu.
- London sebagai pusat kewangan, pendidikan dan pintu masuk global untuk pelabur antara faktor peningkatan peratusan pembeli rumah berbangsa India.
LONDON – Lebih ramai orang India merupakan pemilik hartanah di London berbanding orang Inggeris sendiri, demikian menurut satu laporan terkini.
Memetik laporan Financial Express pada 3 September lalu, pemaju kediaman yang berpangkalan di London, Barratt berkata, orang India adalah kumpulan pemilik hartanah terbesar di ibu negara England.
Antara kumpulan pemilik hartanah terbabit adalah mereka yang tinggal di UK selama beberapa generasi, orang India bukan pemastautin tetap (NRIs,) pelabur, pelajar dan mereka yang datang ke UK bagi mendapatkan pendidikan, disusuli orang Inggeris, Pakistan dan Bangladesh.
Menurut laporan itu, pelabur India sanggup membelanjakan antara GBP290,000 hingga GBP450,000 (RM1.49 juta dan RM2.31 juta) bagi memiliki sebuah pangsapuri, dua atau tiga bilik di ibu negara terbabit.
Laporan itu sama dengan data kerajaan UK daripada Jabatan Peningkatan Tahap, Perumahan dan Komuniti (DLUHC), yang menyatakan pada 2020, keluarga India di UK adalah raja hartanah dengan kira-kira 74 peratus isi rumah India adalah pemilik rumah, lebih tinggi jika dibandingkan dengan warga Britain kulit putih iaitu 68 peratus.
Kehadiran diaspora India yang besar di UK antara faktor penyumbang kepada keadaan itu.
Laporan itu juga mengatakan antara sebab popular pembeli rumah India ialah London merupakan pusat kewangan dan pendidikan begitu juga berperanan sebagai pintu masuk global yang signifikan untuk pelabur.
Pengarah jualan dan pemasaran antarabangsa Barratt di London, Stuart Leslie berkata sistem perundangan di UK yang mudah antara faktor peningkatan peratusan pembeli rumah India pada 2022.
“Ia menjadi lebih mudah apabila melibatkan transaksi dan harga setiap kaki persegi adalah hampir sama kadar di London dan Mumbai,” katanya.
Sumber: Says