Terkini
Wanita muslim OKU mental usia 70 tahun kena pukul, serangan seksual
- Kekejaman sebenar insiden itu terbongkar selepas polis meneliti rakaman CCTV di kawasan berkenaan.
- Rakaman itu menunjukkan suspek memukul mangsa yang tidak berdaya menggunakan batu bata sebelum cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.
- Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan fizikal yang serius dengan kesan bengkak dan kecederaan pada bahagian muka yang menunjukkan mangsa telah dipukul dengan ganas.
DELHI – Seorang wanita Muslim gelandangan berusia 70 tahun yang mempunyai masalah kurang upaya mental diserang pada awal pagi Jumaat, di kawasan Trilokpuri, Delhi, India.
Kejadian itu terbongkar selepas seorang orang awam menghubungi bilik kawalan polis kira-kira jam 6.30 pagi untuk memaklumkan mengenai seorang wanita yang cedera dan terbaring.
Anggota polis dari Balai Polis Mayur Vihar yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa telah dihantar ke Hospital Guru Teg Bahadur oleh ambulans, lapor The Observer Post.
Polis kemudian mengesan individu yang membuat panggilan tersebut, seorang penarik beca, yang memaklumkan bahawa dia meninggalkan lokasi selepas menghubungi pihak berkuasa.
Di hospital, mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita kurang upaya mental yang hidup sebagai gelandangan dan dikenali penduduk setempat kerana sering meminta sedekah.
Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan fizikal yang serius.
Doktor menemui kesan bengkak dan kecederaan pada bahagian muka yang menunjukkan mangsa telah dipukul dengan ganas.
Walaupun laporan perubatan awal tidak mengesahkan berlakunya rogol, penyiasat memasukkan pertuduhan berkaitan serangan seksual dan pencabulan berdasarkan sifat serangan yang berlaku.
Kekejaman sebenar insiden itu terbongkar selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
Rakaman tersebut menunjukkan suspek memukul mangsa yang tidak berdaya menggunakan batu bata sebelum cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.
Video itu mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan penduduk setempat.
Polis Delhi menahan suspek yang dikenal pasti sebagai Vishnu, atau dikenali sebagai Vicky, berusia 28 tahun.
Menurut polis, suspek berada dalam keadaan mabuk ketika ditahan dan dipercayai mempunyai ketagihan dadah. – The Merdeka Times