Terkini
JIM Tahan 62 Warga Asing Dalam Operasi Banteras Salah Guna Pas
- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 62 warga asing dalam operasi khas penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi di Selangor pada 15 Jun lepas kerana disyaki menyalahgunakan pas serta melanggar syarat pas yang diberikan oleh kerajaan.
- Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang melibatkan 30 pegawai penguat kuasa itu dilaksanakan di sekitar Cyberjaya, Bandar Seri Putra, Bandar Teknologi Kajang, Seri Kembangan, Sepang dan Dengkil hasil risikan serta maklumat awam.
- Beliau berkata sebanyak 17 premis melibatkan kilang pembuatan perabot, kilang papan, kedai makan, kedai runcit dan kawasan penjaja menjadi lokasi tumpuan warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.
PUTRAJAYA — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 62 warga asing dalam operasi khas penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi di Selangor pada 15 Jun lepas kerana disyaki menyalahgunakan pas serta melanggar syarat pas yang diberikan oleh kerajaan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang melibatkan 30 pegawai penguat kuasa itu dilaksanakan di sekitar Cyberjaya, Bandar Seri Putra, Bandar Teknologi Kajang, Seri Kembangan, Sepang dan Dengkil hasil risikan serta maklumat awam.
Beliau berkata sebanyak 17 premis melibatkan kilang pembuatan perabot, kilang papan, kedai makan, kedai runcit dan kawasan penjaja menjadi lokasi tumpuan warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap 210 individu yang terdiri daripada warga tempatan dan asing mendapati sebanyak 62 warga asing telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata siasatan awal mendapati sebahagian daripada warga asing yang ditahan dipercayai menyalahgunakan kemudahan pas yang diberi dengan menjalankan pekerjaan atau aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke negara ini.
Beliau berkata perbuatan itu merupakan pelanggaran serius terhadap syarat pas dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
Dalam operasi sama, Zakaria berkata JIM turut mengeluarkan 11 borang saman kepada majikan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan penggajian warga asing dan tahap pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam penggajian warga asing dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar syarat pas dan peraturan imigresen negara.– BERNAMA