Connect with us

Kolumnis

Islam ada cara melindungi alam sekitar

KINI isu penjagaan alam sekitar dan kemusnahan hasil daripada tindakan buruk manusia semakin diperbahaskan di seluruh dunia. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

KINI isu penjagaan alam sekitar dan kemusnahan hasil daripada tindakan buruk manusia semakin diperbahaskan di seluruh dunia. 

Baru-baru ini, terjadi bencana ribut besar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman sehingga mengakibatkan banjir besar dianggap sebagai satu bencana alam luar biasa. 

Bencana ini diyakini berlaku akibat daripada perubahan iklim dan ditambah pula dengan kesan daripada tindakan buruk manusia terhadap alam sekitar yang memburukkan lagi keadaan.

Sedangkan kehidupan manusia dan alam sekitar saling bergantung. Jika salah satu bermasalah, maka yang lain akan menderita. 

Oleh sebab itu, Islam amat menekankan tanggungjawab manusia untuk menjaga kemakmuran bumi sebagai amanah yang diberikan Allah SWT. 

Dia telah menciptakanmu daripada Bumi (tanah) dan menghendakimu memakmurkannya. [Al Qur’an 11:61]

Menjaga alam sekitar adalah amanah 

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. [Al Qur’an 33:72]

Dunia ini adalah amanah yang diterima manusia daripada Allah SWT. Setiap manusia merupakan khalifah (pengganti atau pelayan) di muka bumi dan bertanggungjawab untuk menjaganya. (Al Qur’an 2:30) 

Kita dipertanggungjawabkan sementara waktu untuk memakmurkannya, memastikannya berkembang maju dan aman. Kita bukanlah pemilik dunia ini, tetapi kita adalah pelaksana amanah tersebut.

Amanah memakmurkan bumi tidaklah terhad kepada pembangunan materialistik, sebaliknya melibatkan amanah kelestarian alam yang didiami hampir keseluruhan makhluk bernyawa ciptaan Allah SWT.

Lebih-lebih lagi apabila pembangunan yang semakin pesat dek tangan-tangan manusia yang mengeksploitasikan alam sekitar sehingga berlakunya ketidak seimbangan, maka amanah ini perlu lagi dipergiat. 

Keseimbangan alam sekitar bergantung kepada penghuni bumi 

Allah SWT menciptakan alam dalam keadaan yang seimbang dan sudah sempurna sifatnya malah meminta manusia untuk tidak merosakkannya. 

“Matahari dan bulan beredar mengikut hitungan yang tertentu. Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon, kedua-duanya tunduk (kepada-NYA). Dan langit telah ditinggikan-NYA dan Dia ciptakan keseimbangan. Agar kamu jangan merosakkan keseimbangan itu.” [Al Qur’an 55:5-8]

Malah keseimbangan alam sekitar inilah punca manusia dapat berkembang pesat di dunia ini, yang perlu diperhatikan. 

Allah berfirman, “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala sesuatu. Kami menghasilkan daripadanya kehijauan yang daripadanya Kami menghasilkan bijirin yang disusun berlapis-lapis. Dan dari pokok palma – buahnya yang muncul adalah gugusan yang tergantung rendah. Dan kebun anggur dan zaitun dan delima, serupa lagi pelbagai. Lihatlah [setiap] buahnya apabila ia berbuah dan [pada] masaknya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang beriman’. [Al Qur’an 6:99]

Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam. [Al Qur’an 40:64]

Sepatutnya dengan menggunakan akal yang waras untuk melihat ciptaan Allah SWT, seharusnya menimbulkan rasa ingin menghargai dan mensyukuri rahmat-Nya. 

Lantas membuatkan kita faham akan larangan Allah SWT untuk tidak melakukan kerosakan di muka bumi ini.

Makan dan minumlah dengan rezeki (yang diberikan) Allah dan janganlah kamu melakukan kejahatan di bumi dengan membuat kerosakan. [Al Qur’an 2:60]

Bagi mereka yang mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab dengan ingkar pada perintah Allah SWT ini, al-Quran telahpun memaklumkan ancaman-ancaman yang bakal menimpa manusia hasil dari kerosakan dan perbuatan yang mengganggu keseimbangan yang sudah sempurna ini.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [Al Qur’an 30:41]

Lihatlah bagaimana tindakan manusia merosak keseimbangan alam ciptaan Allah SWT.

Seperti lapisan-lapisan langit yang berfungsi sebagai bumbung untuk melindungi penghuninya daripada cahaya matahari telah mulai kehilangan kemampuannya apabila manusia melepaskan asap kilang tanpa tapisan dan penggunaan bahan kimia secara berlebihan. 

Akhirnya, berlaku penipisan lapisan ozon bumi sehingga ia membawa kepada pemanasan global. Untuk pertama kalinya, pada awal tahun ini, dunia dikejutkan dengan peningkatan suhu yang ekstrim menembusi ambang 1,5 Celcius berbanding era pra industri 1850-1900.

Manakala, bumi yang dipasak dengan gunung-ganang sebagai tiang kestabilan daripada sebarang gegaran telah digondolkan secara berleluasa tanpa kawalan menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan banjir besar. 

Selain itu, air sungai punca kemunculan pelbagai ekosistem darat dan laut yang tidak terkira banyaknya, kian tercemar dan menjejas kehidupan lain. 

Setiap bencana alam yang berlaku pada hari ini sudah cukup membuktikan kepada manusia bahawasanya ciptaan Allah SWT di muka bumi ini saling bergantung antara satu sama lain. 

Namun, disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang terlalu tamak sehingga melampaui batas, akhirnya generasi kita dan akan datang yang terpaksa menerima akibatnya. 

Sumber alam hendaklah dianggap terhad

Islam menggalakkan kita menganggap semua sumber alam sebagai terhad. Kita digalakkan untuk memikirkan ‘keperluan’ kita sahaja dan tidak membazir.

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan akan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan berwudhu’. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash R.Anhuma, beliau berkata:

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”. [Hadis Riwayat al-Bukhari No.201]

Dalam hadis ini, Nabi SAW mengajar kita satu pengajaran yang cukup mendalam iaitu walaupun kita mempunyai sumber yang nampaknya tidak terhad, kita masih harus menggunakan hanya untuk memenuhi keperluan kita sahaja.

Walaupun di Malaysia, negara yang kaya dengan sumber asli, ia tidak bermakna kita boleh menggunakan seberapa banyak yang dimahukan namun cukup sekadar yang diperlukan.

Menanam pokok merupakan amalan sedekah

Sumber alam yang telah digunakan amat digalakkan dalam Islam untuk diperbaharui semula.

Pokok dan tumbuh-tumbuhan, antara sumber alam yang boleh diperbaharui dengan cara menanam semula. 

Walaupun tindakan menanam pokok tampak kecil, namun ia memberi manfaat kepada pelbagai peringkat ekosistem dan membantu memelihara dan menjaga alam sekitar. 

Malah dianggap sebagai sedekah dalam Islam seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada seorang muslim yang menanam pohon, kecuali sesuatu yang dimakan dari tanaman itu akan menjadi sedekah baginya, dan yang dicuri akan menjadi sedekah. Apa sahaja yang dimakan oleh binatang buas darinya, maka sesuatu (yang dimakan) itu akan menjadi sedekah baginya. Apapun yang dimakan oleh burung darinya, maka hal itu akan menjadi sedekah baginya. Tidak ada seorang pun yang mengurangi, kecuali itu akan menjadi sedekah baginya.” [Hadis Riwayat Muslim no. 3945]

Kesimpulannya, sebagai seorang Muslim ia menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga alam sekitar memandangkan ia berkait rapat dengan tuntutan agama. Saranan agama mengenai hal ini tidak patut lagi dipandang rendah lebih-lebih lagi ia adalah saranan daripada Sang Pencipta alam ini.

Semoga dengan kita melaksanakan saranan Tuhan ini, masyarakat dunia akan menyedari bahawa hakikatnya Islam sudahpun menggariskan saranan bagi mewujudkan dunia yang lebih sihat dan mampan untuk generasi akan datang. – The Merdeka Times 

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Kolumnis

Masuk Islam kerana kahwin?

ADA orang memeluk Islam kerana melihat keindahan Islam, ada yang memeluk Islam kerana ingin mendapat bantuan daripada pusat zakat. Malah, ada memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

ADA orang memeluk Islam kerana melihat keindahan Islam, ada yang memeluk Islam kerana ingin mendapat bantuan daripada pusat zakat. Malah, ada memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam.

Hari ini, penulis ingin membincangkan isu sesetengah orang memeluk Islam atas faktor perkahwinan. 

Dalam Islam, seseorang Muslim hanya boleh berkahwin dengan pasangan Muslim sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah 2: 221 yang bermaksud,

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu”.

Maka, jika seorang bukan Islam ingin berkahwin dengan Muslim, dia perlu memeluk Islam terlebih dahulu.

Sahkah seseorang memeluk Islam kerana perkahwinan?

Syarat sah seseorang memeluk Islam adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah serta memahami dan menerima maksudnya.

Selagi seseorang itu dengan sukarela mengucap dua kalimah syahadah, maka pengislamannya adalah sah.

Ini kerana hidayah milik Allah dan Allah berhak memberi hidayah kepada seseorang mengikut cara yang sesuai dengan individu itu.

Salah satu cara Allah memberi hidayah adalah dengan menemukan individu itu dengan pasangan Muslim dan mendedahkannya dengan Islam.

Perkara sama turut terjadi dalam perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dengan Juwairiyah binti al-Harith, yang merupakan anak kepada ketua Bani al-Mustaliq.

Ketika peperangan kaum Muslimin dan Bani al-Mustaliq berakhir, Juwairiyah telah menjadi tawanan perang. Apabila Juwairiyah meminta bantuan daripada Nabi Muhammad ﷺ untuk membebaskan dirinya, Baginda bersetuju untuk membebaskannya dan menikahinya.

Dengan hasil pernikahan tersebut, tawanan lain dari Bani al-Mustaliq turut dibebaskan kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nabi.

Malahan ayah Juwairiyah, al-Harith juga memeluk Islam selepas itu. Ini menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan salah satu cara untuk menyebarkan Islam.

Pasangan Muslim bertanggung jawab membimbing pasangan mualaf

Walaupun terdapat beberapa golongan mualaf berkahwin setelah mereka mempelajari asas agama Islam, namun ada juga yang tidak pernah belajar tentang agama Islam dan hanya berniat memeluk Islam untuk tujuan perkahwinan.

Islam sudahpun memberi panduan perkahwinan. Dari syarat perkahwinan hingga ke tanggungjawab suami isteri telah diajarkan dalam Islam bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga.

Sekiranya seseorang hanya memeluk Islam tanpa ilmu, ada kemungkinan dia tidak tahu menahu tentang tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, mahupun sebagai suami atau isteri. 

Kegagalan memahami konsep kekeluargaan dalam Islam itu boleh mengakibatkan perceraian dan boleh menjadi punca mualaf ingin keluar daripada Islam.    

Oleh sebab itu, pasangan Muslim itu tidak boleh bersikap sambil lewa serta memberi kebebasan tanpa had kepada pasangan mualaf mereka kerana ia membuka ruang untuk pasangan mereka keluar Islam apabila berlaku perpisahan.

Maka, Muslim perlu sedar tanggungjawab untuk membimbing pasangannya yang baru memeluk Islam kerana akidah golongan sebegini tidak sekuat orang yang lahir sebagai Muslim dan mereka lebih memerlukan bimbingan daripada pasangan Muslim mereka sendiri. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending