Connect with us

Kolumnis

Dakwaan rasuah: Aduan bertulis atau lisan, SPRM siasat Ahli Parlimen menukar sokongan

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Avatar

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pada 14 November lalu, Bersatu membuat laporan polis susulan daripada dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 November 2023 melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan telus berhubung dakwaan Muhyiddin.

Merujuk peruntukan Seksyen 29 Akta SPRM (Akta 694), SPRM mempunyai punca kuasa untuk menyiasat sebarang aduan dan maklumat berkenaan mana-mana pelakuan suatu kesalahan yang wujud di bawah Akta SPRM. 

Aduan atau maklumat yang dimaksudkan itu boleh disampaikan secara bertulis atau lisan kepada SPRM dan selanjutnya pegawai SPRM boleh menjalankan siasatan terhadap aduan dan maklumat tersebut menurut peruntukan Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah berkenaan prosedur dan tatacara pengendalian siasatan.

Dalam konteks ini, dapat kita lihat bahawa bentuk aduan dan maklumat berkenaan mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM boleh dibuat sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan kepada pihak penguatkuasa sama ada pihak polis atau SPRM secara langsung. 

Sekiranya laporan polis telah dibuat, maka pihak polis akan merujuk laporan polis itu kepada SPRM sekiranya terdapat atau wujud elemen-elemen kesalahan yang menjurus kepada peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM sebagaimana dalam isu yang viral ini.

Selanjutnya apabila pegawai penyiasat SPRM membuat siasatan bagi aduan dan maklumat tersebut, peruntukan Seksyen 30 Akta SPRM memberi punca kuasa kepada pegawai penyiasat SPRM untuk mengarahkan mana-mana individu untuk hadir dengan membawa sebarang dokumen diperlukan atau sebaliknya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dijalankan terhadap aduan dan maklumat yang dibuat itu. 

Bagi maksud siasatan dijalankan pegawai SPRM tersebut jua mempunyai punca kuasa untuk memeriksa dan menggeledah termasuk menyita apa-apa barang yang dijumpai tanpa memerlukan waran kecuali bagi tujuan pemeriksaan badan individu oleh pegawai SPRM hendaklah dilakukan oleh orang yang sama jantinanya sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 31 Akta SPRM.

Kemudiannya pada 28 November 2023, SPRM membuat kenyataan media bahawa tiada unsur rasuah setakat ini terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar, menunjukkan bahawa pada ketika ini tiada sebarang elemen kesalahan yang dipenuhi dalam mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM untuk mewajarkan SPRM meneruskan pengesyoran pendakwaan kepada Pendakwa Raya sebagaimana peruntukan Seksyen 58 Akta SPRM. 

Walau bagaimanapun, sekiranya pada masa hadapan terdapat keterangan yang memenuhi elemen-elemen kesalahan mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM, maka SPRM boleh meneruskan siasatan sedia ada bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut. 

Adalah perlu diketahui bahawa bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM hendaklah terlebih dahulu mendapat keizinan daripada Pendakwa Raya bagi pendakwaan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan di dalam Akta SPRM dilaksanakan di Mahkamah.

Akhirul kalam, undang-undang pencegahan rasuah di negara kita telah mencakupi pelbagai aspek kesalahan rasuah dan kesalahan berhubung rasuah sebagaimana terkandung di dalam Akta SPRM. 

Matlamat penubuhan SPRM sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab selari dengan peruntukan Seksyen 2 Akta SPRM adalah wajar dilaksanakan dengan telus dan berintegriti terhadap pentadbiran awam dan swasta, termasuk mana-mana individu tidak kira latar belakang dan status jawatannya dalam mendaulatkan undang-undang negara. 

Segala aduan dan maklumat disalurkan kepada SPRM hendaklah dipandang serius dalam meletakkan kepercayaan rakyat kepada badan penguatkuasa bebas di negara kita. – The Merdeka Times

Muhammad Hariz Md Yusoff adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Agama

Syariat membezakan Islam dari lain-lain agama

Islam adalah agama yang membawa rahmah ke seluruh alam. Agama yang membawa keamanan dan mengiktiraf hak manusia untuk hidup bersama dengan aman damai tanpa penindasan dan paksaan.

Avatar

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Islam adalah agama yang membawa rahmah ke seluruh alam. Agama yang membawa keamanan dan mengiktiraf hak manusia untuk hidup bersama dengan aman damai tanpa penindasan dan paksaan.

Hanya agama Islam yang diakui oleh Allah swt untuk semua manusia. Ia diperjelaskan melalui wahyu Allah melalui kitab Allah iaitu al-Quran dan al-Hadis melalui utusan Allah.

Ini kerana Islam berbeza dengan lain-lain agama dalam perkara yang berkaitan akidah dan ibadah. Akidah dan ibadat dalam Islam adalah berasaskan syariat terus dari perintah, kehendak Allah. Bukan rekaan atau khayalan ciptaan makhluk.

Asas akidah dan ibadat adalah bersumberkan dalam banyak nas dalam al-Quran dan al-Hadis. Allah swt telah memerintahkan orang Islam supaya mengikut syariat disediakan Allah swt melalui Nabi Muhammad saw dan tidak sesekali meniru atau mencampur-adukkan syariat atau peraturan agama dengan amalan umat terdahulu atau terkemudian.

Manakala prinsip ibadah dalam Islam asalnya adalah tiada melainkan ada nas yang membolehkannya.

Al-Imam as-Subki seperti yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie:

اَلْأَصْلَ فِي اَلْعِبَادَةِ اَلتَّوَقُّف

Terjemahan: “Asal hukum di dalam ibadat adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)”. (Fath al-Bari: 4/174)

Hikmah daripada syariat yang Allah swt sediakan khusus kepada umat Islam adalah untuk mengelakkan golongan Yahudi, Kristian, Majusi, Paganisme dan lain-lain mempunyai alasan untuk terus merosakkan kepercayaan umat Islam pada waktu itu mahupun pada masa kini.

Bukan sahaja umat Islam dilarang mencampuradukkan amalan agama malah dilarang melakukan tasyabbuh. Tasyabbuh dalam bahasa Arab yang memiliki erti meniru-niru atau menyerupai. Dalam konteks agama Islam, tasyabbuh diertikan sebagai perilaku meniru-niru orang kafir atau orang yang tidak beriman.

Tidak sama dan tidak menyamakan serta tidak meniru-niru ini menjadi ikrar kita setiap kali menunaikan ibadat, terutama solat supaya semua ibadat kita membuktikan bahawa kita dari golongan Muslimin.

‎إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

‎لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَاْ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud:

Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.

Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.

Akidah kita berbeza

Orang Islam bertuhankan Allah Yang Maha Esa.  Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Beriman kepada Allah swt yang Maha Esa, Maha Pencipta, Pemilik, Pentadbir Alam dan yang Berhak Disembah. Selainnya adalah hamba Allah.

Dari segi akidah kita tidak boleh berkongsi atau bertoleransi dengan orang yang bukan Islam. Akidah Islam berbeza kerana Islam menjadikan enam rukun iman yang perlu menjadi prinsip kehidupan setiap muslim:

* Beriman kepada Allah swt yang esa.

* Beriman kepada Malaikat

* Beriman kepada Kitab

* Beriman kepada Rasul

* Beriman kepada Hari Akhirat

* Beriman kepada Qada dan Qadar

Amal ibadat yang berbeza

Ibadat  ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah, mengikut peraturan, melakukan suruhannya dan meninggalkan larangannya, sebagaimana ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Muhammad. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah.

Ibadah dipecahkan kepada dua kategori, iaitu ibadah khusus serta ibadah umum. Ibadah khusus adalah ibadah yang utama dan telah ditetapkan oleh syariah Islam dari segi cara, rukun dan syaratnya tidak boleh diubah. Hukumnya adalah fardhu ain, yakni setiap orang wajib meyakini dan beramal dengannya.

Contohnya seperti solat, puasa, membayar zakat, menunaikan haji, taharah, melaksanakan ibadah korban dan aqiqah.

Manakala, ibadah umum pula bermaksud ibadah yang merangkumi semua kegiatan dan aspek kehidupan yang berkaitan dengan hubungan manusia sesama manusia atau makhluk lain. Ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Contohnya, belajar di sekolah, berniaga, mualamat (jual beli), makan dan minum, bercakap benar, membantu ibu bapa atau individu lain, munakahat dan lain-lain lagi.

Perbezaan penganut Islam dan bukan Islam

Dalam surah al-Jaathiah ayat 18, Allah swt memberitahu orang Islam bahawa mereka telah diberi syariat tersendiri yang berbeza:

ثُمَّ جَعَلْنَٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ فَٱتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Justeru itu, di bawah adalah beberapa perbezaan ketara antara penganut Islam dan bukan Islam yang mana menjadi sempadan jelas antara dua golongan ini:

* Sejarah sendiri mencatatkan bagaimana peristiwa orang Yahudi mengeji Rasulullah saw kerana mengadap kiblat ke arah Baitul Maqdis ketika mengerjakan solat yang mana turut menjadi kiblat mereka. Sedangkan, ia sebenarnya adalah perintah Allah swt. Berkat kesabaran dan doa Rasulullah saw, maka turunlah ayat untuk mengubah arah kiblat daripada Baitul Maqdis ke Baitul Haram iaitu Kaabah. Masjid Kiblatain menjadi saksi kepada peristiwa tersebut.

* Larangan Rasulullah saw terhadap umatnya daripada menggunakan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Kristian. Seruan Azan akhirnya digunakan Rasulullah saw berdasarkan mimpi yang dialami oleh salah seorang sahabat baginda. (Shahih Sunan Abi Dawud, no. 498)

* Larangan Rasulullah saw daripada mengerjakan solat pada waktu matahari terbit dan waktu ia sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah matahari. (Shahih Muslim, no. 832)

* Larangan Rasulullah saw daripada  menjadikan perkuburan para Anbiya’ dan Shalihin sebagai tempat ibadat kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Kristian. (Shahih Muslim, no. 530-532)

* Larangan Rasulullah saw daripada bersolat berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi. (Shahih Sunan Abi Dawud, no.635)

* Suruhan Rasulullah saw untuk memakai selipar atau khuf (yang terjamin sucinya) ketika melaksanakan ibadat solat adalah kerana golongan Yahudi tidak mengharuskannya. (Shahih Sunan Abi Dawud, no.652)

* Larangan Rasulullah saw daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi. (Mustadrak al-Hakim, lihat: Jilbab al-Mar’ah,hal:175)

* Peringatan Rasulullah saw terhadap umatnya supaya bersahur apabila berpuasa kerana golongan Ahli Kitab berpuasa tanpa bersahur. (Shahih Muslim no.1096)

* Saranan Rasulullah saw terhadap umatnya supaya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Ahli Kitab melewatkannya. (Musnad Ahmad)

* Saranan Rasulullah saw supaya umatnya berpuasa Asyura (10 Muharram) iaitu sebanyak dua hari, hari ke-9 dan hari ke-10 kerana golongan Ahli Kitab berpuasa hanya pada hari ke-10 sahaja. (Shahih Muslim no.1134)

* Saranan Rasulullah saw supaya jemaah haji bergerak daripada Mudzalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin lazimnya bergerak selepas matahari terbit sehingga sinarnya melepasi puncak Bukit Thubair di Mekah. (Shahih Bukhari no. 3626).

* Tempat solat orang Islam dinamakan masjid dimana diberi pahala beriktikaf dan sebagainya. Tidak dibenarkan agama lain berkongsi kerana masjid tempat suci dan tidak boleh dijadikan tempat mensyirikkan Allah swt.

Dalam Al Quran. Surah Al- Jinn. Ayat 18:

وَأَنَّ ٱلْمَسَٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدًا

Maksudnya:

“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

* Tidak menyerupai pakaian ketika solat atau beribadat seperti pakaian ibadat orang bukan Islam. Seperti berpakaian atau berjubah seperti Santa Claus dan lain-lain. Tidak berwarna kuning seperti pakaian sami. Beribadat tidak mencampuradukkan dengan iringan muzik, koir sambil membaca Al Quran dan sebagainya. Juga tidak ada tarian dan selainnya seperti upacara ibadat orang bukan Islam.

Tidak menyerupai (Tasyabbuh) dengan orang kafir

Rasulullah saw dengan tegas telah mengharamkan tasyabbuh dalam sabdanya:

‎(مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ) رواه أبو داود (4031) وصححه الألباني في صحيح أبي داود .

“Siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari golongannya.” HR. Abu Dawud, (4031) dinyatakan shoheh oleh Albany dalam Shoheh Abi Dawud.

Mungkin kita mencari hikmah pengharaman penyerupaan umat Islam kepada orang kafir dengan mengetahui sisi negatif dari penyerupaan ini menampakkan beberapa keburukan. Di antara hal itu adalah:

1. Bahwa penyerupaan seorang Muslim dengan orang kafir menunjukkan orang Islam lebih mendepani penampilan orang kafir dibandingkan pada dirinya. Hal ini seolah-oleh ia lebih mengiktiraf atau mengagungkannya dari syariat Allah dan kehendakNya. Seorang wanita yang menyerupai lelaki seakan-akan dia menyangkal ciptakan Allah. Dan tidak rela atau tidak menerima ciptaan Allah. Begitu juga orang Islam ketika menyerupai orang kafir. Hal itu mengiklankan bahwa kondisi orang kafir itu lebih baik dari kondisi dirinya yang telah Allah muliakan dan Allah perintahkannya.

2. Menyerupai orang lain menunjukkan kelemahan jiwa dan kekalahan diri. Sementara syariat Islam tidak menerima umat Islam menunjukkan kekalahan seperti itu. Sesungguhnya pengakuan akan membawa kekalahan dan mengiklankannya hal itu menambah kelemahan semakin lemah.

3. Penyerupaan dalam penampilan luar lazimnya ada kecintaan dan kesetian hati. Maka seseorang tidak boleh menyerupai kecuali kepada orang yang yang dicintainya kerana Allah.

Sabda Nabi saw :

‎(أوثق عرى الإيمان : الموالاة في الله ، والمعاداة في الله ، والحب في الله ، والبغض في الله) . رواه الطبراني وصححه الألباني في السلسلة الصحيحة (998) .

“Sesungguhnya tali keimanan paling kuat adalah kesetian karena Allah dan memusuhi kerana Allah. Cinta kerana Allah dan membenci karena Allah.” HR. Tobroni dinyatakan shoheh oleh Albany di Silsilah Shohehah, (998).

Menyerupai dengan orang kafir ini termasuk salah satu cara melemahkan dan meragukan amalan agama.

4. Menyerupai orang kafir dalam penampilan menjerumuskan kepada yang lebih berbahaya. Iaitu menanam bibit menyanjungi agama mereka. Sehingga keyakinannya menjadi seperti keyakinan mereka.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam ‘Iqtidho Syirotol Mustaqim, (1/548) mengatakan, “Penyerupaan (sisi penampilan) dan perilaku dalam penampilan mengharuskan penyerupaan dan penyamaan boleh membawa pengaruh secara perlahan dan tersembunyi.

Hikmah yang nampak dari pengharaman agama dari menyerupai orang Islam dengan orang Musyrik. Seharusnya orang Islam merealisasikan hukum Allah swt dan mengimani bahawa Allah Ta’ala tidak menyuruh kecuali di dalamnya ada hikmah dan kemaslahatan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Semoga Allah swt menyelamatkan kita daripada menyerupai ahli maksiat dan golongan yang menyeleweng dan derhaka kepada Allah, sebaliknya menjadikan kita di dalam golongan yang meniru atau menyerupai orang-orang yang berjaya. Dengan itu, mudah-mudahan kita akan berjaya seperti mereka. – The Merdeka Times

Penulis adalah bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending