Terkini
Buli hampir sifar, masalah disiplin kurang, MARA perluas warden bekas tentera ke semua 58 MRSM
- Kajian oleh UPM turut mendapati kehadiran warden yang kerap dan sistematik berjaya meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme, selain membantu pelajar menjadi lebih berdisiplin serta mematuhi peraturan berkaitan masa, kekemasan diri dan asrama.
- Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ibu bapa dan masyarakat tidak perlu khuatir kerana semua warden bekas tentera yang bakal dilantik akan melalui proses saringan yang teliti serta latihan khas sebelum ditempatkan di MRSM bermula Januari 2027.
- “Warden-warden sepenuh masa di kalangan bekas tentera akan ditapis secara teliti dan melalui proses latihan khas dengan modul kerjasama UPM sebelum ditempatkan di semua 58 MRSM bermula Januari 2027,” katanya.
KUALA LUMPUR – MARA akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera di kesemua 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara selepas kajian mendapati kehadiran mereka berjaya mengurangkan masalah disiplin dan menjadikan kes buli hampir sifar.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ibu bapa dan masyarakat tidak perlu khuatir kerana semua warden bekas tentera yang bakal dilantik akan melalui proses saringan yang teliti serta latihan khas sebelum ditempatkan di MRSM bermula Januari 2027.
“Ibubapa dan masyarakat tidak perlu khuatir, warden-warden sepenuh masa di kalangan bekas tentera akan ditapis secara teliti dan melalui proses latihan khas dengan modul kerjasama UPM sebelum ditempatkan di semua 58 MRSM bermula Januari 2027,” katanya dalam hantaran di Facebook..
Beliau berkata demikian selepas menerima Laporan Lengkap Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.
Kajian yang diketuai Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman itu mendapati warden bekas tentera berkesan dalam mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama selain menerima maklum balas positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir.
Laporan setebal 191 muka surat itu turut mendapati kehadiran warden yang kerap dan sistematik berjaya meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme, selain membantu pelajar menjadi lebih berdisiplin serta mematuhi peraturan berkaitan masa, kekemasan diri dan asrama.
Menurut laporan itu, pelajar juga berasa lebih selamat di asrama, manakala keterlibatan langsung warden dalam aktiviti keagamaan membantu memperkukuh dimensi kerohanian mereka.
Kajian tersebut turut menunjukkan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera berjaya mengurangkan beban guru, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan penuh kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.
“Hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah masalah buli sepanjang keberadaan warden ini hampir sifar,” kata Asyraf.
Berdasarkan dapatan positif itu, beliau berkata Majlis MARA bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera ke semua MRSM di seluruh negara.
Pada masa sama, MARA turut meminta UPM menyediakan modul latihan khusus kepada warden baharu serta meneruskan kajian bagi menangani isu buli mental secara lebih holistik. – The Merdeka Times