Connect with us

Terkini

Hari Wanita Sedunia: Jangan abaikan hak dan perjuangan wanita di zon konflik

WANITA adalah antara golongan paling terdedah kepada bahaya maut dan yang terawal merasakan kesan konflik apabila runtuhnya sistem sokongan dalam sesebuah negara. 

Research And Development MRM

Published

on

Hari Wanita Sedunia
Foto: Gambar sekadar hiasan.

WANITA adalah antara golongan paling terdedah kepada bahaya maut dan yang terawal merasakan kesan konflik apabila runtuhnya sistem sokongan dalam sesebuah negara. 

Apatah lagi negara yang sedang mengalami konflik peperangan.

Maka adalah penting untuk kita mengalihkan perhatian dunia kepada realiti wanita yang semakin dilupai di zon konflik tersebut di mana hak asasi mereka ‘didiamkan’ di muka awam yang perlu disuarakan.  

Mengambil contoh, negara yang masih berada dalam konflik seperti Palestin.  Hampir 70 peratus rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Malah, hampir sejuta wanita dan kanak-kanak perempuan kehilangan tempat tinggal. 

Badan kemanusian, ActionAid melaporkan wanita dan kanak-kanak di Gaza mengalami tahap keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

“Dua ibu terbunuh setiap jam di Gaza dan tujuh wanita mati setiap dua jam,” kata laporan itu.

Foto: Nyawa manusia di sebalik nombor: Tinjauan sayap Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Women).

Menurut laporan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OHCHR), kematian wanita dan kanak-kanak dianggap sebagai kematian yang disengajakan oleh rejim Israel di Gaza.  

Bagaikan terpenjara dalam ‘penjara terbesar dunia’, mereka yang terselamat perlu bertarung nyawa dengan berkurangnya bekalan air bersih dan makanan serta fasiliti kesihatan yang makin terhad saban hari sambil perlu tetap berwaspada terhadap serangan bom yang tiada henti. 

Ini bukanlah persekitaran kondusif, malah ia merupakan lokasi paling berbahaya di dunia bagi wanita dan kanak-kanak.

Ringkasnya, tiada sesiapa pun dijamin selamat di Gaza. Namun demi kelangsungan hidup, rakyat Gaza terus berusaha mencari solusi dengan segala ruang yang ada. 

Contohnya, mereka terpaksa menggunakan kain khemah sebagai bahan pelapik sewaktu haid kerana tiada akses kepada tuala wanita. 

Situasi itu mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan yang mengancam nyawa.  

Mengikut tinjauan sayap wanita PBB (UN Women), dianggarkan terdapat 50,000 wanita hamil di Gaza sedang menantikan kelahiran cahaya mata. 

Lebih teruk lagi, sebanyak 180 wanita merisikokan nyawa mereka untuk melahirkan anak tanpa penjagaan kesihatan yang mencukupi, termasuk melahirkan anak secara pembedahan tanpa penstrilan peralatan, ubat bius atau ubat penahan sakit. 

Ini jelas merupakan pelanggaran hak asasi wanita secara terang-terangan mengikut Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) bahawa wanita berhak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik. 

Namun sehingga kini hak itu masih lagi didiamkan dan dibutakan. 

“Kematian ibu di Gaza dijangka meningkat memandangkan kekurangan akses kepada penjagaan yang mencukupi. Situasi ini akan memberi kesan buruk kepada nyawa si ibu dan anak di mana boleh keguguran disebabkan tekanan, bayi mati sewaktu melahirkan dan kelahiran pramatang,” kata PBB dalam kenyataan pada Januari lalu. 

Setelah melahirkan, ibu-ibu di Palestin terpaksa bergelut untuk menyusui bayi mereka dalam keadaan tubuhnya sendiri kurang nutrisi. 

Hibanya sehingga mereka terpaksa memberikan kurma yang dihancurkan dan mencampur susu dengan air tercemar kepada bayi kerana kekurangan susu.

Dunia menyangka wanita Palestin yang sengsara dari konflik ini hanya melibatkan Muslim sahaja, tetapi hakikatnya, isu hak wanita dan kemanusian di Palestin tidak pernah mengenal agama, bangsa atau warna kulit seseorang itu. 

Bahkan, masyarakat Kristian di Gaza yang tidak menyokong kekejaman zionis Israel turut mengalami perkara sama seperti masyarakat Muslim di mana rumah mereka dibom, ahli keluarga mereka dibunuh dan gereja mereka dimusnahkan. 

“Saya tidak pasti sama ada mereka (Kristian Palestin) akan terselamat daripada pengeboman Israel dan walaupun mereka terselamat, saya fikir ramai yang akan berhijrah. Tetapi apa yang saya tahu dalam generasi ini, agama Kristian tidak akan lagi wujud di Gaza,” kata Mitri Raheb, paderi Evangelikal Lutheran di Gaza dipetik agensi berita al-Jazeera

Inilah realiti sedang dihadapi wanita Palestin yang tanpa henti memperjuangkan hak mereka untuk bertahan hidup di tengah-tengah konflik.

Maka sempena Hari Wanita Sedunia pada tahun ini, inilah masanya untuk bertindak segera bukan hanya meraikan pencapaian dan kejayaan wanita sahaja. 

Bukan juga hanya berfikirkan tentang kepentingan diri kita sahaja mahupun berfikir apa lagi hak ‘wanita tidak tulen’ yang perlu diketengahkan sedangkan isu kepincangan hak wanita dalam zon konflik masih belum diselesaikan. 

Inilah isu feminis terbesar yang seharusnya disuarakan dan dibangkitkan dengan kadar segera tanpa mengira latar agama dan bangsa, bukannya berdiam atas dasar bersikap ‘neutral’. 

Ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).” (Sahih Muslim, no 4685) 

Malah, kitab Bible turut menyatakan perkara yang sama dalam 1 Korintus 12:26 yang bermaksud: 

“Kerana itu jika satu anggota menderita, semua anggota turut menderita. Jika satu anggota dihormati, semua anggota turut bersuka cita.” 

Bukalah mata, bersuaralah dan manfaatkan platform media sosial semaksimum mungkin dalam memperjuangkan hak dan keperluan wanita di zon konflik yang sering dinafikan supaya suara mereka terus didengari. – The Merdeka Times 

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Terkini

Penceramah terpalit kes jenayah rogol didakwa beri khutbah Jumaat, Pejabat agama Islam Petaling masih siasat – JAIS

Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Petaling sedang menjalankan siasatan terhadap isu penceramah bebas, Muhammad Fathi Naim Mazlam yang berdepan tuduhan jenayah rogol tetapi dilihat memberikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Bandar Sri Damansara, hari ini.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im.
  • Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Petaling sedang menjalankan siasatan terhadap isu penceramah bebas, Muhammad Fathi Naim Mazlam yang berdepan tuduhan jenayah rogol tetapi dilihat memberikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Bandar Sri Damansara, hari ini.
  • Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata setelah laporan penuh berkaitan isu berkenaan didapati, Unit Pengurusan Masjid Daerah (UPMD) Petaling akan membuat laporan siasatan dan tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan peraturan.
  • Beliau memaklumkan tauliah mengajar Fathi digantung sejak 6 April 2023 dan ia tamat pada 30 Jun 2023 serta pemohon juga tidak menyambung tauliah berkenaan.
  • Beliau berkata demikian ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini ketika diminta mengulas dakwaan Fathi memberikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, sedangkan beliau kini berdepan tuduhan jenayah rogol gadis bawah umur.

KUALA LUMPUR — Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Petaling sedang menjalankan siasatan terhadap isu penceramah bebas, Muhammad Fathi Naim Mazlam yang berdepan tuduhan jenayah rogol tetapi dilihat memberikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Bandar Sri Damansara, hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata setelah laporan penuh berkaitan isu berkenaan didapati, Unit Pengurusan Masjid Daerah (UPMD) Petaling akan membuat laporan siasatan dan tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan peraturan.

Beliau memaklumkan tauliah mengajar Fathi digantung sejak 6 April 2023 dan ia tamat pada 30 Jun 2023 serta pemohon juga tidak menyambung tauliah berkenaan.

“Isu (Fathi) berkhutbah di Masjid Bandar Sri Damansara, PAID Petaling masih menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

“Setelah mendapat laporan penuh UPMD Petaling akan membuat laporan siasatan dan tindakan akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan peraturan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini ketika diminta mengulas dakwaan Fathi memberikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, sedangkan beliau kini berdepan tuduhan jenayah rogol gadis bawah umur.

Fathi pada November 2022 dilaporkan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Klang atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari 2022.

Bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual, bapa lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di  https://support.themerdekatimes.com

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending