Antarabangsa
(VIDEO) Piala Dunia 2022 saksikan lebih 500 peluk Islam di Qatar
Seorang pendakwah mendakwa lebih 500 orang memeluk Islam sebelum dan ketika Piala Dunia 2022 berlangsung di Qatar dan jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.
- Seorang pendakwah mendakwa lebih 500 orang memeluk Islam sebelum dan ketika Piala Dunia 2022 berlangsung di Qatar.
- Video dikongsikan akaun Instagram @muslim.daily menyaksikan seorang peminat bola sepak dari Mexico dan keluarga dari Brazil memeluk Islam.
- “Lelaki ini (peminat dari Mexico) memasuki masjid untuk mempelajari budaya umat Islam, lalu saya jelaskan kepadanya tentang rukun iman dan Islam itu agama semua nabi.
- “Kemudian lelaki ini ingin berada di atas agama para nabi dan memilih untuk memeluk Islam dan saya ulangi kepadanya, adakah sesiapa yang memaksa anda melakukan itu? Dia mengesahkan tiada siapa yang memaksanya,” – pendakwah, Hayyan Al-Yafei.
Seorang pendakwah mendakwa lebih 500 orang memeluk Islam sebelum dan ketika Piala Dunia 2022 berlangsung di Qatar dan jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.
Menerusi beberapa video dikongsikan akaun Instagram @muslim.daily dapat menyaksikan beberapa orang peminat bola sepak telah memeluk Islam.
View this post on Instagram
Peminat Mexico itu dilihat melafazkan Syahadah (kesaksian iman) di samping pendakwah Hayyan Al-Yafei dalam video dikongsikan secara meluas di platform media sosial.
“Lelaki ini memasuki masjid untuk mempelajari budaya umat Islam, lalu saya jelaskan kepadanya tentang rukun iman dan Islam itu agama semua nabi.
“Kemudian lelaki ini ingin berada di atas agama para nabi dan memilih untuk memeluk Islam dan saya ulangi kepadanya, adakah sesiapa yang memaksa anda melakukan itu? Dia mengesahkan tiada siapa memaksanya,” kata Al-Yafei dalam hantaran di Facebook ketika menceritakan pengislaman lelaki dari Mexico itu.
“Dia memberitahu kami bahawa dia ingin menjadi seorang Muslim kerana keinginannya dan segala puji bagi Allah yang melapangkan dadanya dan mencerahkan hatinya. Kami memohon kepada Allah untuk kami dan agar Dia bersabar,” kata pendakwah itu.
Pada masa sama, dalam video berbeza Instagram @muslim.daily turut berkongsikan video di mana sebuah keluarga daripada negara Brazil memeluk Islam selepas tiba di Qatar untuk Piala Dunia FIFA 2022.
Difahamkan kemungkinan semua ahli keluarga itu melafazkan syahadah ketika berada di dalam masjid.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam di Qatar melancarkan pavilion untuk memperkenalkan Islam dan ajarannya semasa Piala Dunia 2022.
Program itu disertai pendakwah dari beberapa negara, malah buku bercetak dalam beberapa bahasa untuk memperkenal Islam dan mempersembahkan budaya Arab, khususnya Qatar turut diedarkan.
Piala Dunia 2022 FIFA bermula pada 20 November lalu dengan perlawanan pembukaan di antara Qatar dan Ecuador di Stadium Al Bayt, dalam edisi pertama kejohanan antarabangsa diadakan di Timur Tengah dan dunia Arab.
Sepanjang 29 hari Piala Dunia, kejohanan itu menyaksikan 64 perlawanan dengan tirai berakhir pada 18 Disember depan bertepatan dengan Hari Kebangsaan Qatar, di Stadium Lusail dengan kapasiti 80,000 orang.
Sumber: Instagram Muslim Daily, Siasat Daily