Connect with us

Ekonomi

(VIDEO) Malaysia masih alami masalah besar seimbangkan agihan kekayaan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Dekan Institut Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai

KUALA LUMPUR — Malaysia masih mengalami masalah besar dalam keseimbangan dan pengagihan kekayaan, kata Dekan Institut Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Barjoyai berkata satu peratus penduduk Malaysia iaitu individu terkaya memiliki 30 peratus kekayaan di negara ini, manakala 50 peratus penduduk di Malaysia iaitu individu miskin berkongsi dua peratus kekayaan.

“Kita mula-mula dengar ini memang terkejut tapi sebenarnya ini berlaku di seluruh dunia, di US (Amerika Syarikat) pun sama… Di Singapura satu peratus penduduk memiliki 50 peratus kekayaan di Singapura. 

“Tapi apa yang penting yang kita perlu belajar tengok di Vietnam, di Cambodia, di Laos di beberapa negara Afrika, 50 peratus penduduknya masih dapat berkongsi 10 peratus kekayaan (negara masing-masing). 

“Maknanya, kalau di negara lain di dunia, kita dua peratus je (kelompok miskin berkongsi kekayaan) tapi di negara-negara yang dianggap negara masih jauh tertinggal daripada Malaysia ini pengagihan kekayaannya lebih baik daripada kita,” katanya  menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Prestasi 2 tahun Kerajaan Madani, corot @ cemerlang?’ yang bersiaran di platform media sosial The Merdeka Times di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan hos sama ada dalam dua tahun pemerintahan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat penambahbaikan dilakukan terhadap ‘kemiskinan golongan’ yang tidak miskin tetapi kehidupan mereka juga tidak diketahui selesa atau tidak.

Sebelum ini, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, (Minda- UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menyatakan kemiskinan kini lebih bersifat berpoket, khusus lokasi dan punca di mana majoriti rakyat ada pendidikan, ada makanan, ada pendapatan, ada rumah, ada kenderaan, ada pekerjaan, ada akses kepada kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas iaitu mereka tidak miskin tetapi tidak juga diketahui sama ada hidup selesa atau tidak.

Program terbitan Studio Merdeka itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad dan Ketua Penerangan Pemuda MCA Nasional, Neow Choo Seong.

Mengulas punca perkara itu berlaku, Barjoyai berkata selama 67 tahun Malaysia sebenarnya menekankan kepada soal modal sebagai asas pembangunan.

Malaysia juga menggalakkan pelabur asing dan membawa pelaburan, di mana kelompok ini yang mengumpul kekayaan dan tergolong dalam kumpulan satu peratus tadi.

“Kalau kita bangunkan perniagaan makro kecil dan sederhana, mereka akan berupaya mengagihkan (kekayaan) kerana 80 peratus daripada kumpulan pekerjaan adalah digaji oleh kumpulan perniagaan makro kecil dan sederhana ini. 

“Dan mereka hanya, menyumbang kira-kira kurang dari 30 peratus keluaran dalam negara kasar. 

Selagi kita tidak menumpukan perhatian kepada kumpulan peniaga makro kecil dan sederhana dalam membangunkan ekonomi, selagi  itu, apa yang kita kata kita nak meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat ni, hanya angan-angan,” kata Barjoyai. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *